Oleh Dave Mosher, Penulis Tetap LiveScience.

Satu penyelidikan baru yang dikendalikan oleh penyelidik otak, Avi Karni dari Universiti Haifa di Israel, meneroka kemungkinan bahawasanya tidur sekejap dapat membantu menyematkan memori jangka panjang yang ada kalanya dapat bertahan seketika sahaja. Tidur siang selama 90 minit mungkin yang paling berkesan, menurut dapatan kajian tersebut.
“Kami masih tidak tahu apakah mekanisme sebenar dalam proses daya ingatan yang berlaku sewaktu tidur, tetapi hasil penyelidikan ini mencadangkan kemungkinan bahawasanya pengukuhan daya ingatan boleh dipercepatkan,” kata Karni. “Pada masa akan datang, kita mungkin dapat melakukannya secara tiruan.”
Memori jangka panjang merujuk kepada memori yang tersimpan dalam diri kita selama bertahun-tahun, misalnya memori “apa” – kemalangan kereta yang berlaku semalam – ataupun memori “bagaimana cara”, misalnya kemahiran yang dipelajari seperti bermain dram ataupun gelecek bola dalam permainan bola sepak.
Karni, yang menjadi pengarang bersama kajian tersebut di dalam jurnal Nature Neuroscience terbitan terbaru, memberi arahan kepada para peserta untuk mempelajari suatu urutan ketukan ibu jari yang kompleks. Kemudian subjek kajian telah dipecahkan kepada dua kumpulan : satu kumpulan tidur selama sejam dan yang satu lagi tidak tidur. Ahli-ahli kumpulan yang tidur petang mempamerkan peningkatan yang agak besar dalam persembahan mereka menjelang malam itu.
“Selepas tidur semalaman, kedua-dua kumpulan tersebut berada pada tahap yang sama. Namun begitu, prestasi kumpulan yang telah tidur petang meningkat lebih cepat daripada kumpulan yang berjaga,” kata Karni.
Peringkat tambahan kajian tersebut telah menunjukkan betapa pantasnya tidur selama 90 minit dapat membantu menyematkan memori jangka panjang.
“Tidur siang boleh menyingkatkan masa yang diambil oleh memori ”bagaimana cara” untuk menjadi lali terhadap gangguan dan kelupaan,” ujar Karni. “Daripada mengambil masa 6 hingga 8 jam, otak dapat mengukuhkan daya ingatan dalam masa 90 minit waktu tidur.”
:: :: :: :: ::
U : sekarang saya dapat satu lagi alasan yang baik untuk melelapkan mata "sekejap" ;-}