Selain untuk berkongsi maklumat, blog ini juga menjadi medan latihan bagi saya mengasah kemahiran menterjemah.

Sebarang komen untuk memperbetul mahupun memperbaiki lagi mutu terjemahan amatlah dialu-alukan. Selamat membaca
.

:: UNTUK MELIHAT TEKS SUMBER, KLIK PADA TAJUK ENTRI ::

17 Januari 2010

Cara 'Menanam' Udara Segar

Penyelidik Kamal Meattle menunjukkan bagaimana penyusunan tiga pokok hias-rumah biasa di tempat-tempat tertentu di dalam rumah atau bangunan pejabat, dapat menghasilkan udara yang lebih segar di kawasan tertutup.









Untuk sari kata Bahasa Melayu, klik
pada View Subtitles dan pilih Malay.




:: :: :: :: ::


U : Sayangilah BUMI kita. Marilah sama-sama kita mulakan amalan hijau yang mudah ini di rumah dan tempat kerja. Udara segar = minda segar = produktiviti meningkat.

12 Januari 2010

Sorotan Hari Ini : Lepa jenis apakah yang diguna untuk merekatkan bongkah batu piramid di Mesir?

Orang Mesir kuno tidak menggunakan sebarang lepa atau campuran simen untuk merekatkan bongkah batu Piramid. Mereka menggunakan sistem blok saling mengunci, yang disusun dengan teliti di atas satu sama lain. Apa jua campuran lepa yang telah digunakan adalah dihasilkan daripada gipsum terhidrat, dan ia hanya digunakan untuk mengisi ruang di celah-celah bongkah batu itu sahaja. Piramid Agung di Giza, yang dibina ketika abad ke-26 Sebelum Masihi telah mula merosot binaannya menjelang abad ke-20. Satu panel antarabangsa telah ditubuhkan pada tahun 1980-an untuk mengawasi kerja-kerja membaik pulih struktur binaan piramid tersebut. Mereka mengambil keputusan untuk menggunakan simen moden pada bongkah batu kapur itu bagi menstabilkan struktur itu dengan lebih baik. Walau bagaimanapun, mereka mendapati kandungan air dalam campuran simen itu menyebabkan batu kapur merekah. Pada 12 Januari 1984, pekerja-pekerja membaik pulih telah berhenti menggunakan simen dan berbalik semula ke sistem kuno blok saling mengunci yang pernah digunakan oleh pembina asal piramid itu. Mulai saat itu, projek tersebut telah berjalan dengan lancar.


:: :: :: :: ::

U : Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah. [Al Quran 40 : 21]

10 Januari 2010

Anak sendirilah yang paling cantik

Seorang pemburu telah masuk ke dalam hutan untuk memburu lantas terserempak dengan seekor burung berkek.

"Wahai kawan," kata burung itu, "janganlah tembak anak-anak saya."
"Bagaimana saya hendak kenal anak-anak kamu? tanya si pemburu itu, "bagaimana rupa mereka?"
"Oh!", kata burung itu, "anak-anak sayalah yang paling cantik sekali dalam hutan itu."
"Baiklah", ujar si pemburu, "saya tidak akan menembak mereka, usahlah risau."
Namun begitu, apabila dia kembali dari hutan, digalasnya pulang seikat anak-anak burung, yang baru sahaja ditembak.
"Oh! Oh!" teriak sang burung berkek tadi, "mengapa tuan tembak juga anak-anak saya?"
"Apa? Ini anak-anak kamu!" kata si pemburu itu, "tapi saya hanya menembak burung-burung paling hodoh yang dapat saya cari!"
"Kasihan mereka!" kata sang burung, "tidakkah tuan tahu yang semua ibu bapa menganggap anak-anak mereka masing-masinglah yang paling cantik di dunia ini?"




:: :: :: :: ::

U : Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi seorang Yahudi, seorang Nasrani maupun seorang Majusi. Sebagaimana seekor binatang yang melahirkan seekor anak tanpa cacat, apakah kamu merasakan terdapat yang terpotong hidungnya? [Hadis no. 4803 Kitab Sahih Muslim]

Sorotan Hari Ini : Pernahkah AS menyertai Liga Bangsa?

Meskipun Liga Bangsa-Bangsa telah diusulkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Woodrow Wilson, AS tidak pernah menyertai organisasi itu. Liga tersebut telah ditubuhkan pada tarikh ini dalam tahun 1920, apabila Perjanjian Versailles dikuatkuasakan. Liga Bangsa tidak pernah memegang kuasa sebenar dan telah dibubarkan pada tahun 1946, dan digantikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Persidangan pertama Perhimpunan Agung PBB diadakan di Westminster Central Hall di London pada 10 Januari 1946. Pertemuan pertama ini dihadiri oleh wakil dari setiap negara anggota PBB yang terdiri daripada 51 buah negara; hari ini terdapat 192 negara anggota dalam pertubuhan ini. Perhimpunan Agung meluluskan resolusi -resolusi berat (misalnya penerimaan anggota baru, persoalan berkenaan belanjawan atau peramanahan) oleh majoriti 2 /3 daripada wakil negara yang hadir dan mengundi. Isu-isu rutin yang lain pula diluluskan dengan undian majoriti mudah.


:: :: :: :: ::

U : Pelik juga apabila memikirkan sebuah badan dunia yang mempunyai hampir 200 negara anggota ini masih tidak berdaya melawan rejim pengganas dari sebuah negara haram seluas sekangkang kera yang bermaharajalela di tengah-tengah bumi anbiya'.

03 Januari 2010

Sorotan Hari Ini : Bagaimana straw minuman mendapat namanya?

Penyedut minuman pada asalnya merupakan tangkai-tangkai berongga daripada...jerami (bahasa inggeris : straw). Pada tarikh ini, dalam tahun 1888, Marvis C. Stone, yang sudah pun mengusahakan pembuatan kertas pemegang rokok, telah memohon paten bagi satu proses baru untuk membuat penyedut minuman. Beliau menggulungkan kertas bersalut parafin pada sebatang pensel lalu melekatkan hujungnya. Dalam masa dua tahun, produksi straw ini telah mengatasi jumlah pengeluaran pemegang rokok. Penghasilan straw dibuat dengan tangan sehingga tahun 1906, apabila syarikat Stone telah mencipta sebuah mesin untuk melakukan kerja tersebut.


.


:: :: :: :: ::

- Suatu ciptaan yang mudah tetapi membawa perubahan yang besar pada kehidupan kita dan menjadikan seorang usahawan yang inovatif kaya-raya!

02 Januari 2010

Sorotan Hari Ini : Adakah kupu-kupu terbang ke selatan pada musim sejuk?

Kupu-kupu Monarch melakukannya. Monarch adalah satu-satunya jenis kupu-kupu yang melakukan penghijrahan lengkap, menuju ke selatan untuk musim sejuk dan kembali ke utara pada musim bunga. Memandangkan perjalanan pergi balik mengambil masa yang lebih lama daripada jangka hayat seekor kupu-kupu, maka sudah tentulah tiada seekor pun kupu-kupu Monarch ini yang pernah melengkapkan pusingan penghijrahan tersebut. Dalam perjalanan hijrah ini Monarch betina akan bertelur dan generasi berikutnya akan meneruskan penghijrahan. Walaupun ahli lepidoptera atau pakar serangga bersayap telah berpuluh tahun mengkaji penghijrahan ini, bertahun-tahun juga lamanya mereka gagal mengesan tempat kupu-kupu Monarch Amerika Utara ini menghabiskan musim sejuk. Seorang jurutera tekstil dan ahli lepidoptera amatur yang tinggal di Mexico City telah menjumpai habitat musim sejuk bagi kupu-kupu Monarch pada tarikh ini, tiga puluh lima tahun yang lalu, iaitu pada 1975 : kira-kira 10,000 kaki di atas sisi sebuah gunung, beliau telah menjumpai kawanan kupu-kupu yang begitu lebat sehinggakan pokok-pokok di situ kelihatan berwarna jingga dan bukan menghijau.





Kawanan kupu-kupu Monarch menghampari padang rumput di atas sebuah gunung sambil mencari makan pada waktu siang.











Pada waktu malam yang sangat sejuk, kupu-kupu Monarch berkerumun pada pokok fir di atas gunung untuk mendapatkan kehangatan. Sinar matahari pagi akan memanaskan kelompok itu sehingga kawanan kupu-kupu ini bertebaran 'menghamburkan warna jingga' ke seluruh padang rumput untuk mencari makan.







:: :: :: :: ::


U : Indahnya ciptaan Tuhan. Subhanallah!



 
^

Powered by BloggerOMNI-TERJEMAHAN by UsuárioCompulsivo
original Washed Denim by Darren Delaye
Creative Commons License