Selain untuk berkongsi maklumat, blog ini juga menjadi medan latihan bagi saya mengasah kemahiran menterjemah.

Sebarang komen untuk memperbetul mahupun memperbaiki lagi mutu terjemahan amatlah dialu-alukan. Selamat membaca
.

:: UNTUK MELIHAT TEKS SUMBER, KLIK PADA TAJUK ENTRI ::

27 November 2009

Warkah Malcolm X dari Makkah

KEMBARA HAJI KE MAKKAH

Ketika beliau berada di Makkah, Al-Hajj Malik El-Shabazz telah menulis sepucuk surat kepada para pembantunya yang setia di Harlem… meluahkan isi hatinya:


“Belum pernah saya menyaksikan layanan mesra penuh keikhlasan dan semangat persaudaraan yang begitu teguh sebagaimana yang diamalkan oleh insan-insan yang terdiri daripada pelbagai warna kulit serta bangsa di kota suci purba ini, bumi Ibrahim, bumi Muhammad serta para anbiya dalam Kitab-kitab suci. Dalam masa seminggu yang telah berlalu, saya benar-benar terkelu lagi terpesona dengan budi pekerti yang dipamerkan oleh manusia daripada pelbagai warna kulit di sekeliling saya."

“Saya dikurniai Ilahi kesempatan untuk menziarahi Kota Suci Makkah, saya sudah mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah, dibawa oleh seorang mutawif muda bernama Muhammad, saya telah meminum air dari telaga Zam Zam. Saya telah berlari berulang-alik sebanyak tujuh kali di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah. Saya bersolat di kota purba Mina, dan saya turut berdoa di bukit Arafah.”


"Amerika perlu memahami Islam, kerana inilah satu-satunya agama yang memadamkan masalah perkauman dalam masyarakat. Sepanjang pengembaraan saya ke dunia Islam, saya telah bertemu, berbicara, malah pernah makan bersama-sama orang yang, jika di Amerika, akan dianggap sebagai berkulit putih – tetapi sikap kulit putih telah tersingkir daripada pemikiran mereka oleh agama Islam. Saya belum pernah lagi melihat persaudaraan yang begitu tulus ikhlas sepertimana yang diamalkan bersama-sama oleh sekumpulan manusia yang beraneka warna kulit ini, tanpa mengira warna kulit mereka.”

“Kamu mungkin terkejut kata-kata sebegini terluah daripada orang seperti saya. Tetapi dalam kembara haji saya ini, apa yang telah saya lihat dan alami telah memaksa diri ini untuk menyusun semula pola pemikiran yang dianuti sebelumnya, dan mengetepikan beberapa kesimpulan yang pernah saya putuskan sebelum ini. Ini tidaklah begitu sukar pun bagi saya. Sungguhpun saya ini berpendirian tegas, saya juga seorang yang sentiasa bersedia menghadapi kenyataan serta menerima hakikat kehidupan sebagai pengalaman baru dan pengetahuan baru yang menguraikannya. Saya sentiasa berfikiran terbuka, yakni suatu sikap yang diperlukan dalam usaha penyesuaian yang harus seiringan dengan segala bentuk ikhtiar berilmu demi mencari kebenaran.”

"Semasa saya berada di dunia Islam ini sejak sebelas hari yang lalu, saya telah makan dari pinggan yang sama, minum dari gelas yang sama, dan tidur di atas hamparan yang sama – di samping beribadat kepada Tuhan yang sama - dengan saudara seIslam yang lain, yang matanya berwarna sebiru-birunya, dengan rambut berwarna seperang-perangnya, dan berkulit seputih-putihnya. Saya merasakan keikhlasan dalam kata-kata serta perbuatan golongan Muslim berkulit putih ini sebagaimana yang dapat saya rasakannya daripada kalangan Muslim berkulit hitam Afrika yang datang dari Nigeria, Sudan dan Ghana."

“Kami semua benar-benar bersaudara – kerana kepercayaan mereka kepada Tuhan yang Satu telah melenyapkan status “kulit putih” daripada pemikiran mereka, kelakuan mereka mahupun sikap mereka.”

“Dalam hal ini, saya dapat melihat bahawa sekiranya warga kulit putih Amerika dapat menerima Tuhan yang Satu, maka, barangkali, mereka juga dapat menerima hakikat bahawasanya Manusia itu juga Satu – dan tidak lagi bertimbang-timbang, menghalang serta menyakiti golongan lain berdasarkan perbezaan warna kulit mereka.”

"Dengan masalah perkauman yang melanda Amerika seperti barah yang tidak boleh diubati, hati kaum kulit putih Amerika yang kononnya menganuti agama 'Kristian' sepatutnya lebih terbuka kepada suatu penyelesaian yang terbukti berkesan bagi masalah yang membinasakan ini. Mungkin inilah masanya untuk menyelamatkan Amerika yang sedang berada di ambang kebinasaan – bencana serupa yang telah menimpa Negara Jerman akibat perkauman yang akhirnya membinasakan rakyat Jerman itu sendiri.”

"Setiap saat ketika berada di Tanah Suci ini telah memberikan saya suatu pengertian kerohanian yang mendalam tentang apa yang sedang berlaku di Amerika antara kaum kulit hitam dan kulit putih. Orang Negro Amerika tidaklah boleh dipersalahkan atas rasa dendamnya yang bersifat perkauman – itu hanya tindak balasnya terhadap sikap perkauman yang sengaja diamalkan oleh kaum kulit putih Amerika sejak empat ratus tahun yang lampau. Tetapi tatkala sifat perkauman menjuruskan Amerika ke arah kebinasaan, saya percaya, daripada pengalaman saya bersama mereka, generasi muda kaum kulit putih yang berada di maktab-maktab dan universiti, akan dapat melihat tanda-tanda yang memang sudah jelas dan lantas ramai yang akan berpaling ke arah laluan spiritual kebenaran – satu-satunya jalan bagi Amerika demi menangkis kemusnahan yang bakal berlaku akibat daripada bara perkauman.”

"Tidak pernah saya diberi penghormatan yang sebegini tinggi. Belum pernah saya berasa begitu rendah hati lagi terharu . Siapa akan percaya kurniaan rahmat yang telah dilimpahkan kepada seorang yang berbangsa Negro dari Amerika? Beberapa malam yang lalu, seorang lelaki yang akan digelar sebagai ‘orang putih’ di Amerika, seorang diplomat Bangsa-bangsa Bersatu, seorang duta, pengiring kerabat diraja, telah memberikan saya bilik hotelnya, katilnya. Tidak pernah saya termimpikan untuk menerima suatu penghormatan yang sedemikian rupa - penghormatan yang di Amerika hanya dikurniakan kepada seorang Raja - bukan seorang Negro."

“Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan sekelian alam”.




Yang ikhlas,

Al-Hajj Malik El-Shabazz (Malcolm X)


(dipetik dari buku AUTOBIOGRAPHY OF MALCOLM X dengan bantuan Alex Haley, penulis buku ROOTS)

sumber foto


:: :: :: :: ::



U : Semoga para jemaah Haji memperoleh Haji yang mabrur. Kepada kaum Muslim yang lain diucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha dan selamat mengerjakan ibadah qurban. Semoga ibadah kita diterima Allah dan persaudaraan kita bertambah teguh di bawah panji Islam.

21 November 2009

Sorotan Hari Ini : Dari mana Manusia Piltdown mendapat namanya?

Antara tahun 1911 dan 1915, seorang penyelidik bernama Charles Dawson telah menemui serpihan tengkorak, sepuntung gigi dan beberapa alat perkakas di dalam sebuah longgokan batu kerikil di Piltdown, yang terletak di Sussex, England. Dunia sains menjadi ghairah dengan penemuan ini – ahli-ahli antropologi percaya bahawa fosil tulang manusia purba atau hominid telah ditemui, yakni pelengkap yang dicari-cari bagi hubungan antara mawas dan manusia. Fosil tersebut diberi gelaran Manusia Piltdown, sempena nama tempat ia ditemui. Namun demikian, gelaran Piltdown telah menjadi sinonim dengan Penipuan. Setelah 40 tahun barulah penemuan tersebut telah terbukti salah secara saintifik. Pada tarikh ini dalam tahun 1953, Manusia Piltdown telah diisytiharkan sebagai palsu. Didapati tengkorak tersebut adalah hasil penggabungan tulang manusia dan seekor orangutan.









Tengkorak Manusia Piltdown yang dibina semula.








:: :: :: :: ::




U : Agaknya tengkorak tersebut adalah hasil kreativiti seorang pengikut tegar Darwinisme ;)



20 November 2009

Diet Pembunuh

Usah asyik bersusah hati tentang AIDS, kanser dan selesema burung. Penyakit kardiovaskular membunuh lebih ramai orang daripada semua perkara lain digabungkan -- dan kebanyakannya boleh dicegah.
Dr. Dean Ornish menjelaskan bagaimana pengubahan tabiat makan kita dapat menyelamatkan nyawa.






Untuk sari kata Bahasa Melayu, klik
pada View Subtitles dan pilih Malay.
kkk
lllll
lllll
:: :: :: :: ::
lll
gghh
U : Orang Barat sudah mengakui diet orang Asia boleh mencegah penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes dan sebagainya. Malangnya, orang Asia pula yang terikut-ikut dengan gaya hidup dan diet orang Barat. Amalan Rasulullah patut dicontohi : Makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Sorotan Hari Ini : Adakah syarikat rokok disyaratkan untuk melabel kotak rokok mereka dengan amaran tentang bahayanya rokok kepada kesihatan?

Akta Pencegahan Merokok Keluarga dan Kawalan Tembakau – diluluskan sebagai undang-undang pada Jun 2009 – menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 50% daripada bahagian hadapan dan belakang kotak rokok harus dikhaskan untuk diletakkan amaran tentang kesan bahaya rokok terhadap kesihatan. Jika anda sedang berfikir-fikir hendak berhenti merokok tetapi belum berupaya melakukannya, inilah harinya. Hari ini merupakan acara tahunan yang ke-32 bagi The Great American Smokeout atau Hari Tanpa Rokok Amerika yang ditaja oleh Persatuan Kanser Amerika, diadakan setiap tahun pada hari Khamis ketiga bulan November. Peraturannya mudah sahaja : Jangan merokok selama 24 jam. Mungkin anda akan terdorong untuk berhenti merokok buat selama-lamanya. Beberapa tip berguna untuk berhenti merokok : amalkan kegiatan aktif, minum banyak air dan jus, ubahkan rutin anda, elakkan situasi yang boleh mendorong anda untuk merokok, dan berpakatlah dengan teman yang boleh membantu anda lalui hari tersebut dengan jayanya...dan hari-hari mendatang.

Petikan : “Sembuhkanlah saya supaya saya dapat muncul di televisyen dan beritahu orang agar berhenti merokok.” – Nat King Cole, yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru dalam tahun 1965, pada usia 45 tahun.


:: :: :: :: ::




U : Merokok bukan sahaja membahayakan diri si perokok, tetapi juga orang di sekelilingnya. Katakan "TAK NAK" kepada rokok. Ingatlah pada orang yang tersayang.

18 November 2009

Sorotan Hari Ini : Bilakah telefon tekan butang mula digunakan?

Pada 18 November, 1963, telefon tekan butang boleh didapati secara komersial di dua bandar di Pennsylvania sebagai pilihan alternatif kepada telefon dail putar; ia ditawarkan dengan harga yang lebih mahal sedikit. Pelbagai reka bentuk telefon jenis baru telah diperkenalkan di Pameran Dunia Seattle pada tahun sebelumnya. Reka bentuk telefon yang paling popular ialah Model 500, yang dicipta oleh Henry Dreyfuss, seorang pereka industri. Berikutan reka bentuk asas telefon dail putar, peralihan kepada sistem nada sentuh, dengan empat barisan nombor menggantikan kedudukan dail telah menjadi mudah. Oleh kerana setiap nombor mempunyai nada yang berbeza pada ketika itu, anda boleh memainkan suatu lagu dengan mendail nombor telefon. Bahkan, buku-buku lagu pernah diterbitkan, dengan nombor sebagai menggantikan not muzik.




:: :: :: :: ::
U : Kini telefon talian tetap sebegini sudah semakin jarang dijumpai di rumah-rumah semenjak 'revolusi wayarles' telah merobah dunia. Apakah agaknya revolusi seterusnya?

14 November 2009

Sorotan Hari Ini : Bagaimana aliran seni Impresionis mendapat namanya?

Pelukis Impresionis Claude Monet dilahirkan di Paris pada tarikh ini dalam tahun 1840. Oleh kerana minat yang mendalam terhadap suasana di luar, Monet mengamalkan penghasilan lukisan pemandangan yang sama pada waktu dan musim yang berbeza-beza, lantas menyerlahkan kesan cahaya dan suasana pada subjek berkenaan. Beliau gemar sekali melukis bunga-bungaan dan lukisan yang bertemakan bunga teratai adalah antara karya beliau yang terkenal. Salah sebuah lukisan Monet yang bertajuk Impression : Sunrise yang menjadi sumber ilham bagi nama Impresionisme untuk menggambarkan arah aliran artis yang berusaha melukis suatu pemandangan secara tepat dan objektif sambil menggunakan kesan alihan cahaya pada warna dan tekstur. Monet mengulas tentang kepentingan alam semula jadi dalam hasil karyanya : “Saya memeluk alam semula jadi tanpa berupaya menggenggamnya… mungkin kerana bunga-bungaanlah saya telah menjadi seorang pelukis.”

Petikan : “Orang memperkatakan tentang karya seni saya dan berpura-pura memahaminya seolah-olah ia perlu difahami, sedangkan ia hanya perlu dinikmati." - Claude Monet


Karya Monet :


Impression : Sunrise




Water Lilies








:: :: :: :: ::

U : Teringat lirik lagu Allahyarham P. Ramlee :

Tiada kata secantik bahasa

Untuk ku puji adinda

Tiada gambar secantik lukisan

Nak ku tunjuk perasaan...

13 November 2009

Sorotan Hari Ini : Movember?


Maksud anda November, bukan? Tidak. Maksud kami, Movember. Menurut ceritanya, pada 1999, sekumpulan lelaki di Adelaide, Australia, mendapat idea untuk mengumpul derma dengan mengajak orang menaja misai mereka. Mereka mengambil keputusan untuk mendedikasikan bulan November bagi tujuan ini, dan menggelarinya ‘Movember’ (gabungan kalimah ‘misai’ dan ‘November’). Idea tersebut telah berkembang menjadi acara sepanjang bulan bagi usaha mewujudkan kesedaran dan mengumpul dana bagi tujuan amal kebajikan kaum lelaki, terutamanya dalam isu berkaitan barah prostat dan kesihatan mental kaum lelaki. Tahun lalu, di Australia sahaja, kira-kira 125,000 orang lelaki telah menyimpan misai, dan lebih $8 juta telah dikumpulkan untuk Yayasan Kanser Prostat dan beyondblue, sebuah organisasi kebangsaan yang menangani masalah depresi atau kemurungan dan masalah kesihatan mental yang lain. Ada hanya beberapa syarat sahaja bagi lelaki yang ingin menyertai usaha amal ini. Mereka harus mula dengan muka yang bersih bercukur pada 1 November dan menyimpan misai sepanjang bulan tersebut – jambang dan janggut tidak dibenarkan.



:: :: :: :: ::


U : Macam-macam gelagat dan ragam manusia. Geli pula rasanya membayangkan misai yang panjang berfungsi sebagai "penapis teh" semula jadi...hehe. Apa-apa pun, kesihatan dan kebersihan diri harus diutamakan. Rasul kita s.a.w juga menggalakkan kaum Muslimin agar memotong/menipiskan misai dan menyimpan janggut.

04 November 2009

Sorotan Hari Ini : Siapakah yang mencipta mesin daftar tunai?


James dan John Ritty telah menghasilkan prototaip mesin daftar tunai dan mempatenkan ia pada tarikh ini dalam tahun 1879. James Ritty merupakan seorang penjaga sebuah bar yang para pelayannya sering kali menggelapkan keuntungan dengan tidak menyerahkan wang tersebut kepada bos mereka. Adiknya, John, merupakan seorang mekanik. Mereka berdua pun bekerjasama mereka cipta sebuah mesin yang boleh merekodkan urus niaga tunai di bar tersebut. Mereka menggelari alat ciptaan mereka itu "Juruwang Ritty yang Amanah". Alat itu tidak mempunyai laci wang tunai; sebaliknya terdapat punat kekunci yang mewakili jumlah wang tertentu. Pekerja akan menekan kekunci yang berkenaan bagi setiap jualan, lantas urus niaga tersebut terus terdaftar pada waktu itu juga. Pada penghujung hari kerja, Ritty dapat mengenal pasti sekiranya ada wang yang hilang.
Kesudahannya, Ritty bersaudara itu mengambil keputusan untuk menjual kepentingan masing-masing dalam kilang mesin daftar tunai yang dibuka mereka. John H. Patterson telah membeli hak milik dan menukar nama syarikat tersebut kepada National Cash Register Company.



:: :: :: :: ::

U : Walau secanggih mana pun ciptaan peralatan kawalan pada masa kini, ada saja manusia yang pasti akan cuba menerobosinya. Tiada apa yang dapat mengatasi kecanggihan otak manusia melainkan Penciptanya.

03 November 2009

Sorotan Hari Ini : Apakah haiwan pertama yang pernah menjelajahi angkasa lepas?

Seekor anjing bernama Laika menjadi haiwan pertama yang dihantar ke ruang angkasa pada tarikh ini dalam tahun 1957. Kesatuan Soviet telah melancarkan anjing kacukan ini ke orbit menaiki Sputnik 2, satelit kedua buatan manusia. Malangnya, tiada langkah persediaan dibuat bagi memastikan kepulangan anjing ini dengan selamat dan Laika telah mati di angkasa lepas. Pengorbanannya telah merintis jalan buat manusia hingga berjaya mengembara ke angkasa lepas, justeru membuktikan bahawa benda-benda hidup boleh bertahan dalam keadaan tanpa berat atau kenirberatan. Haiwan lain, termasuk tikus-tikus Amerika dan anjing-anjing Rusia, pernah dihantar berpergian dalam perjalanan pendek suborbit ke angkasa sebelum Laika. Laika adalah seekor anjing terbiar yang dipungut di jalanan sahaja.
Di Amerika, hari ini menandakan permulaan Minggu Apresiasi Pusat Perlindungan Haiwan Kebangsaan, dinaungi oleh Persatuan Kemanusiaan Amerika Syarikat. Matlamatnya ialah untuk menggalakkan kesedaran orang ramai terhadap peranan yang dimainkan oleh pusat-pusat perlindungan ini demi menjaga keselamatan haiwan-haiwan terbiar, selain memelihara kesejahteraan dan keselamatan komuniti.






Laika semasa di dalam kapsul.





:: :: :: :: ::

U : Kalaulah persatuan kemanusiaan sebegini menghargai kesentosaan sesama manusia sebagaimana mereka begitu prihatin terhadap kesejahteraan haiwan terbiar, mungkin situasi di Palestina dapat ditangani dengan lebih berkesan.



 
^

Powered by BloggerOMNI-TERJEMAHAN by UsuárioCompulsivo
original Washed Denim by Darren Delaye
Creative Commons License