Selain untuk berkongsi maklumat, blog ini juga menjadi medan latihan bagi saya mengasah kemahiran menterjemah.

Sebarang komen untuk memperbetul mahupun memperbaiki lagi mutu terjemahan amatlah dialu-alukan. Selamat membaca
.

:: UNTUK MELIHAT TEKS SUMBER, KLIK PADA TAJUK ENTRI ::

26 Februari 2010

Anugerah Musim Bunga

Ku iri pada pasir yang menggeseri kakinya

Ku cemburu pada madu yang manis dijamahnya

Pada burung-burung yang berterbangan di atas jemalanya

Pada sang lelabah yang menenun sarang suci

Demi menyelamatkannya daripada ditemui

Iri hati ku pada awan-gemawan cetusan samudera

Yang memayunginya dari terik mentari

yang sinarnya tidak mampu menandingi

seri wajahnya yang semarak bercahaya

Menerangi kegelapan malam gelita

Ku iri pada pepohon tak bermata yang menatapi

Susuk tubuhnya dibuai kekusyukan

Tidak ketahuan kiranya fajar sudah menyingsing

Ataupun langit malam masih seiring

Bersama mereka yang bersujud dan berpuasa

Semata-mata kerana diamarkannya

Dengan kebenaran dan kemuliaan,

Ihsan yang nyata daripada Tuhan

Rahmatnya mengiringi insan utusan

Buat melentur hati menuju syurgawi

Ku mencemburui mereka yang berada di sisinya

Yang menjadi saksi kepada arus perubahan

Tatkala yang haq mengatasi kebatilan

Dan kembalinya sinar harapan

Lelaki, wanita dilimpahi rahmat kerana dia

Dengan cita-cita menghadap Yang Maha Mulia

Ku iri pada cangkir yang mengisi minumannya

Fikrahnya mencanai pemikiran kita

Satu gagasan yang menjadi wadah

Mengilhaminya untuk beramal mulia

Bagiku dunia ini tiada manfaat

Andai gagal menerima syafaat

Daripada dirinya kepada Tuhan sepanjang zaman

Ketika turunnya wahyu berkala-kala

Ku mengesali mereka yang berasa hairan

Mendengar ungkapannya mentauhidkan Tuhan

Adapun dirinya diutus Tuhan kepada manusia

Untuk mengasah ketajaman jiwa

Kesombongan diri mengaburi mata

Daripada suluhan nurnya

Diajarinya kita menjadi hamba Tuhan

Dan dialah bakal menyelamatkan

Manusia daripada dosa kesumat

Tuhan sentiasa di sisi Muhammad

Maka pada hari penuh rahmat ini diraikan

Kerana lahirnya dia menyerikan musim bunga

Flora menghijau harum mewangi

Sehijau kubah tempatnya bersemadi.





:: :: :: :: ::

U : Selawat dan salam ke atas Muhammad bin Abdullah, rasul junjungan kita. Marilah kita sama-sama menghayati sirah hidup baginda dan mencontohi keperibadian yang terpuji ini.



 
^

Powered by BloggerOMNI-TERJEMAHAN by UsuárioCompulsivo
original Washed Denim by Darren Delaye
Creative Commons License