Selain untuk berkongsi maklumat, blog ini juga menjadi medan latihan bagi saya mengasah kemahiran menterjemah.

Sebarang komen untuk memperbetul mahupun memperbaiki lagi mutu terjemahan amatlah dialu-alukan. Selamat membaca
.

:: UNTUK MELIHAT TEKS SUMBER, KLIK PADA TAJUK ENTRI ::

25 Disember 2009

Sorotan Hari Ini : Berapa jumlah buku yang terdapat di Perpustakaan Kongres?

Dalam kiraan terakhir yang diterbitkan, Perpustakaan Kongres Amerika Syarikat menyimpan lebih 32 juta buku berkatalog dan bahan-bahan cetak lain dalam 470 bahasa, serta lebih daripada 62 juta manuskrip dan koleksi terbesar di dunia bagi bahan-bahan perundangan, filem, peta, lembaran muzik dan rakaman bunyi. Kesemuanya sekali, jumlah koleksi bahan-bahan tersebut mencapai hampir 142 juta item. Perpustakaan Kongres yang menjadi tempat simpanan semua bahan bertulis berhakcipta di Amerika Syarikat telah ditubuhkan di Kapitol AS pada 1800, dengan beberapa ribu buku untuk kegunaan Kongres. Pada Ogos 1814, angkatan tentera British telah menyerang dan membakar bangunan Kapitol lantas memusnahkan sebahagian besar daripada isi perpustakaan tersebut. Thomas Jefferson dengan segera telah menawarkan koleksi beliau sendiri yang mengandungi lebih 6,000 buah buku demi memulakan usaha penubuhan perpustakaan rasmi yang baru. Pada tarikh ini dalam tahun 1851, Perpustakaan tersebut sekali lagi dijilat api yang memusnahkan lebih 35,000 buah buku. Hari ini, perpustakaan yang sentiasa berkembang itu ditempatkan di tiga buah bangunan yang berasingan di Capitol Hill. Ia masih digunakan sebagai sebuah fasiliti penyelidikan bagi Kongres AS, di samping itu ia juga terbuka untuk kegunaan orang awam yang berumur melebihi usia sekolah tinggi.




Dewan Besar Perpustakaan Kongres

24 Disember 2009

Sorotan Hari Ini : Mengapa Van Gogh memotong telinganya?

Vincent Van Gogh sememangnya seorang seniman yang cemerlang tetapi emosinya terganggu. Beliau mengalami kemurungan dan sering diserang epilepsi atau sawan. Tahun yang paling prolifik dan berjaya bagi Van Gogh adalah sewaktu beliau menghabiskan masa di Arles, Perancis; pada Oktober 1888, sahabatnya, yang juga seorang pelukis, Paul Gauguin, menyertai beliau di sana. Walau bagaimanapun, setelah beberapa bulan, kedua-dua mereka mula bertegang leher. Selepas suatu pertengkaran yang sangat sengit, Gauguin terus meninggalkan Arles. Lantas, dalam keadaan marah dan kesal, pada hari ini, dalam tahun 1888, Van Gogh telah memotong hingga putus bahagian bawah telinga kirinya dengan pisau cukur. Meskipun berada dalam penjagaan doktor, tingkah laku Van Gogh yang bergolak itu tidak beransur pulih. Pada Julai 1890, setelah bertengkar dengan salah seorang daripada doktornya, Van Gogh telah menembak dirinya sendiri di dada. Beliau meninggal dunia dua hari kemudian. Van Gogh telah menghasilkan lebih seribu buah lukisan dan lakaran tetapi hanya berjaya menjual satu sahaja semasa hayatnya.


:: :: :: :: ::

U : Dasar manusia, setelah perginya seniman agung, barulah hasil karyanya dihargai...

21 Disember 2009

Sorotan Hari Ini : Adakah radium mempunyai warna?

Radium berwarna hampir putih bersih. Walau bagaimanapun, apabila ia terdedah kepada udara, ia segera mengoksida lalu menjadi hitam. Radium adalah logam bumi beralkali yang paling berat dan merupakan unsur kimia dengan atom yang mempunyai dua elektron di petala paling luar sekali, sepertimana logam bumi beralkali yang lain; keadaan ini menyebabkan logam ini mudah bertindak balas dan membentuk banyak sebatian. Mutu swakilau dalam radium menjadikan ia ideal untuk digunakan dalam cat swakilau bagi jam tangan, permukaan alat, jam dinding dan seumpamanya. Oleh kerana tidak sedar akan bahaya keradioaktifan tinggi unsur itu, ramai pengecat muka jam yang membentuk berus cat mereka dengan meletakkannya di antara bibir, telah meninggal dunia akibat pendedahan berlanjutan kepada radium yang terkandung dalam cat tersebut. Di samping bahayanya, radium juga ada manfaatnya. Hari ini, radium digunakan dalam perubatan untuk merawat sesetengah jenis kanser. Pada tarikh ini dalam tahun 1898, saintis Pierre dan Marie Curie menemui radium dalam picblen yang datangnya dari Republik Czech.



Pasangan Curie sedang bekerja keras di makmal mereka.

:: :: :: :: ::

U : Allah tidak pernah menciptakan segala sesuatu dengan sia-sia.

18 Disember 2009

10 Perkara Yang Boleh Anda Lakukan Untuk Membantu Menyelamatkan Bumi


Amalan hijau sebenarnya lebih mudah daripada yang disangka. Ada beberapa perkara kecil yang boleh anda lakukan setiap hari untuk membantu mengurangkan gas-gas rumah hijau dan meredakan kesan berbahaya terhadap alam sekitar. Tugas menjaga bumi ini bukan sahaja suatu tanggungjawab – ia suatu penghormatan. Dengan semangat itulah HowStuffWorks telah memikirkan 10 perkara yang boleh anda lakukan untuk menyelamatkan Bumi ini.


1. Perhatikan amalan penggunaan air anda. Perkara-perkara kecil boleh menghasilkan suatu perubahan yang besar. Setiap kali anda menutup paip air semasa sedang memberus gigi, anda melakukan sesuatu yang baik. Tandas anda bocor? Anda mungkin membazir sebanyak 200 gelen air sehari! Cubalah minum air masak sendiri daripada membeli air botol, supaya anda tidak terlibat dalam pembaziran penggunaan botol minuman.

2. Tinggalkan kereta anda di rumah. Jika anda dapat mengelak daripada menggunakan jalanraya selama dua hari sahaja dalam seminggu, anda akan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau secara purata sebanyak 1,590 paun setahun. Gabungkan urusan tugasan anda – pergi ke pejabat pos, kedai runcit dan kedai membaiki kasut dalam satu trip. Ini akan menjimatkan minyak dan juga masa anda.

3. Berjalan kaki ataupun menunggang basikal ke tempat kerja, sekolah dan ke mana saja yang boleh. Anda boleh mengurangkan gas-gas rumah hijau sambil membakar kalori serta meningkatkan tahap kesihatan anda. Jikalau anda tidak dapat berjalan kaki ataupun menunggang basikal, gunalah pengangkutan awam ataupun berkongsi kereta (carpool). Setiap kereta yang berkurangan di jalan raya boleh membawa perubahan yang besar.

4. Kitar semula. Anda boleh membantu mengurangkan pencemaran hanya dengan membuang tin soda itu ke dalam tong sampah berasingan. Jika anda hendak memilih antara dua produk, pilihlah produk yang paling minima pembungkusannya. Seandainya sebuah bangunan pejabat yang mempunyai 7,000 pekerja mengitar semula semua kertas buangan pejabat selama setahun, itu bersamaan dengan menegah hampir 400 kereta daripada menggunakan jalan raya.

5. Mengompos (Jadikan baja). Fikirkan berapa banyak sampah yang anda kumpul dalam setahun. Mengurangkan jumlah sisa pejal yang anda hasilkan dalam setahun bermakna berkuranglah ruang yang digunakan di kawasan penimbusan sampah. Jadi wang cukai anda boleh dimanfaatkan di tempat lain. Tambahan pula, kompos adalah baja asli yang cukup baik. Membuat baja adalah lebih mudah daripada yang anda sangkakan.

6. Tukar bal lampu anda. Bal lampu pendaflour padat atau compact fluorescent light bulbs (CFL) tahan 10 kali lebih lama daripada bal biasa dan menggunakan kurang daripada dua pertiga jumlah tenaga.

7. Jadikan rumah anda lebih efisien tenaga (dan menjimatkan wang). Bersihkan penuras udara anda supaya sistem pengudaraan anda tidak perlu bekerja lebih masa. Apabila hendak tidur, perlahankan penyaman udara – anda tidak akan perasan pun perbezaan beberapa darjah kedinginan semasa anda tidur.

8. Selenggara kereta anda. Tayar yang kurang angin akan mengurangkan ekonomi bahan api sehingga tiga peratus dan menyebabkan bertambahnya pencemaran dan meningkatnya pengeluaran gas rumah hijau. Tayar yang kurang angin juga menyebabkan ia cepat haus, jadi anda dapat menjimatkan wang anda dalam jangka masa panjang jika anda rajin memeriksa tekanan tayar anda.

9. Memandu dengan bijak. Pandulah dengan perlahan – memandu 60 batu sejam dan bukan 70 batu sejam di lebuhraya, anda akan jimat 4 batu bagi setiap gelen. Memecut dan membrek terlalu kuat sebenarnya akan mengurangkan ekonomi bahan api anda, jadi berpada-padalah apabila menekan brek dan pedal minyak.

10. Padamkan lampu apabila anda tidak berada di dalam bilik dan cabutkan palam alat elektrik apabila anda tidak menggunakannya. Satu saat pun cukup untuk menjadi prihatin terhadap alam sekitar.




Mengompos



:: :: :: :: ::



U : Tahun makin bertambah, Bumi makin dimamah usia. Marilah kita sama-sama memasang niat dan iltizam untuk menjadi insan yang lebih bertakwa terhadap Pencipta dan lebih bertanggungjawab terhadap hubungan sesama makhluk yakni alam sekitar. Selamat tahun baru 1431 Hijrah / 2010 Masihi.

11 Disember 2009

Pernahkah seorang raja England menolak penghormatan untuk menaiki takhta?

Pada tarikh ini dalam tahun 1936, Edward VIII, raja Great Britain dan Ireland selama 325 hari, menjadi Raja England pertama yang telah turun takhta secara sukarela. Oleh kerana dilamun cinta dengan Wallis Simpson, seorang janda bangsa Amerika, Edward memilih untuk melepaskan takhta daripada melepaskan wanita yang dianggap sebagai calon yang tidak sesuai menjadi bakal permaisuri England. Adinda baginda, Albert, telah dimahkotai sebagai Raja George VI pada 12 Mei, 1937. Sebulan kemudian, Edward dan Wallis Simpson pun bernikah. Edward memegang gelaran Duke of Windsor dan baginda serta isteri menetap di luar negeri sepanjang hayat mereka. Keluarga diraja England tidak begitu menerima Duchess itu sebagai ahli kerabat mereka, namun pada 1972, Ratu Elizabeth II telah menziarahi pasangan tersebut semasa lawatan rasmi baginda ke Perancis. Apabila Duke itu mangkat beberapa hari kemudian, Duchess telah diberi layanan sepenuh hormat sebagaimana yang dituntut oleh gelaran beliau.

Duke dan Duchess of Windsor

:: :: :: :: ::

U : Buang takhta kerana cinta tidak mengapa, asalkan jangan buang emak, buang saudara dek kerana turutkan kekasih, sudahlah.

10 Disember 2009

Sorotan Hari Ini : Mengapa Hadiah Nobel selalu diberikan pada 10 Disember?

Ahli kimia berbangsa Sweden Alfred Nobel meninggal dunia pada 10 Disember 1896. Dalam wasiatnya, beliau telah mengarahkan penubuhan sebuah dana yang akan memberi ganjaran hadiah berbentuk wang kepada mereka yang telah menyumbangkan usaha cemerlang dalam bidang fizik, kimia, fisiologi ataupun perubatan, sastera dan ekonomi serta usaha mempertingkatkan keamanan dunia. Hari ini terdapat beberapa “orang yang pertama” dalam kalangan penerima penghargaan Nobel ini : Barack Obama merupakan Presiden Amerika pertama yang menerima Hadiah Keamanan Nobel semasa menduduki jawatan tersebut dan Elinor Ostrom adalah wanita pertama yang menerima anugerah dalam bidang Ilmu Ekonomi. Beberapa fakta trivia menarik tentang Hadiah Nobel : penerima paling muda ialah Lawrence Bragg, yang berusia 25 tahun sewaktu beliau menerima Hadiah Nobel Fizik bersama bapa beliau pada tahun 1915. Leonid Hurwicz yang berusia 90 tahun merupakan penerima yang paling tua bagi Hadiah Nobel dalam Ilmu Ekonomi pada tahun 2007. Dua orang penerima Hadiah Nobel pernah menolak penghormatan ini : Jean-Paul Sartre, yang enggan menerima sebarang penghormatan rasmi kerana pendiriannya, telah menolak Hadiah Nobel Sastera 1964; dan Le Duc Tho, penerima bersama dengan Henry Kissinger bagi Hadiah Nobel Keamanan 1973 telah menolak anugerah tersebut dengan alasan beliau tidak mahu menerima ganjaran bagi usaha rundingan untuk cmencapai perjanjian keamanan Vietnam, memandangkan keadaan di Vietnam pada ketika itu.




Sumber foto






:: :: :: :: ::






U : Masih keliru mengapa Barack Obama boleh tercalon dan seterusnya menerima Hadiah Nobel Keamanan walhal beliau baru sahaja dilantik sebagai Presiden dan belum pun menyerlahkan apa-apa sumbangan terhadap keamanan dunia sejagat.

27 November 2009

Warkah Malcolm X dari Makkah

KEMBARA HAJI KE MAKKAH

Ketika beliau berada di Makkah, Al-Hajj Malik El-Shabazz telah menulis sepucuk surat kepada para pembantunya yang setia di Harlem… meluahkan isi hatinya:


“Belum pernah saya menyaksikan layanan mesra penuh keikhlasan dan semangat persaudaraan yang begitu teguh sebagaimana yang diamalkan oleh insan-insan yang terdiri daripada pelbagai warna kulit serta bangsa di kota suci purba ini, bumi Ibrahim, bumi Muhammad serta para anbiya dalam Kitab-kitab suci. Dalam masa seminggu yang telah berlalu, saya benar-benar terkelu lagi terpesona dengan budi pekerti yang dipamerkan oleh manusia daripada pelbagai warna kulit di sekeliling saya."

“Saya dikurniai Ilahi kesempatan untuk menziarahi Kota Suci Makkah, saya sudah mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah, dibawa oleh seorang mutawif muda bernama Muhammad, saya telah meminum air dari telaga Zam Zam. Saya telah berlari berulang-alik sebanyak tujuh kali di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah. Saya bersolat di kota purba Mina, dan saya turut berdoa di bukit Arafah.”


"Amerika perlu memahami Islam, kerana inilah satu-satunya agama yang memadamkan masalah perkauman dalam masyarakat. Sepanjang pengembaraan saya ke dunia Islam, saya telah bertemu, berbicara, malah pernah makan bersama-sama orang yang, jika di Amerika, akan dianggap sebagai berkulit putih – tetapi sikap kulit putih telah tersingkir daripada pemikiran mereka oleh agama Islam. Saya belum pernah lagi melihat persaudaraan yang begitu tulus ikhlas sepertimana yang diamalkan bersama-sama oleh sekumpulan manusia yang beraneka warna kulit ini, tanpa mengira warna kulit mereka.”

“Kamu mungkin terkejut kata-kata sebegini terluah daripada orang seperti saya. Tetapi dalam kembara haji saya ini, apa yang telah saya lihat dan alami telah memaksa diri ini untuk menyusun semula pola pemikiran yang dianuti sebelumnya, dan mengetepikan beberapa kesimpulan yang pernah saya putuskan sebelum ini. Ini tidaklah begitu sukar pun bagi saya. Sungguhpun saya ini berpendirian tegas, saya juga seorang yang sentiasa bersedia menghadapi kenyataan serta menerima hakikat kehidupan sebagai pengalaman baru dan pengetahuan baru yang menguraikannya. Saya sentiasa berfikiran terbuka, yakni suatu sikap yang diperlukan dalam usaha penyesuaian yang harus seiringan dengan segala bentuk ikhtiar berilmu demi mencari kebenaran.”

"Semasa saya berada di dunia Islam ini sejak sebelas hari yang lalu, saya telah makan dari pinggan yang sama, minum dari gelas yang sama, dan tidur di atas hamparan yang sama – di samping beribadat kepada Tuhan yang sama - dengan saudara seIslam yang lain, yang matanya berwarna sebiru-birunya, dengan rambut berwarna seperang-perangnya, dan berkulit seputih-putihnya. Saya merasakan keikhlasan dalam kata-kata serta perbuatan golongan Muslim berkulit putih ini sebagaimana yang dapat saya rasakannya daripada kalangan Muslim berkulit hitam Afrika yang datang dari Nigeria, Sudan dan Ghana."

“Kami semua benar-benar bersaudara – kerana kepercayaan mereka kepada Tuhan yang Satu telah melenyapkan status “kulit putih” daripada pemikiran mereka, kelakuan mereka mahupun sikap mereka.”

“Dalam hal ini, saya dapat melihat bahawa sekiranya warga kulit putih Amerika dapat menerima Tuhan yang Satu, maka, barangkali, mereka juga dapat menerima hakikat bahawasanya Manusia itu juga Satu – dan tidak lagi bertimbang-timbang, menghalang serta menyakiti golongan lain berdasarkan perbezaan warna kulit mereka.”

"Dengan masalah perkauman yang melanda Amerika seperti barah yang tidak boleh diubati, hati kaum kulit putih Amerika yang kononnya menganuti agama 'Kristian' sepatutnya lebih terbuka kepada suatu penyelesaian yang terbukti berkesan bagi masalah yang membinasakan ini. Mungkin inilah masanya untuk menyelamatkan Amerika yang sedang berada di ambang kebinasaan – bencana serupa yang telah menimpa Negara Jerman akibat perkauman yang akhirnya membinasakan rakyat Jerman itu sendiri.”

"Setiap saat ketika berada di Tanah Suci ini telah memberikan saya suatu pengertian kerohanian yang mendalam tentang apa yang sedang berlaku di Amerika antara kaum kulit hitam dan kulit putih. Orang Negro Amerika tidaklah boleh dipersalahkan atas rasa dendamnya yang bersifat perkauman – itu hanya tindak balasnya terhadap sikap perkauman yang sengaja diamalkan oleh kaum kulit putih Amerika sejak empat ratus tahun yang lampau. Tetapi tatkala sifat perkauman menjuruskan Amerika ke arah kebinasaan, saya percaya, daripada pengalaman saya bersama mereka, generasi muda kaum kulit putih yang berada di maktab-maktab dan universiti, akan dapat melihat tanda-tanda yang memang sudah jelas dan lantas ramai yang akan berpaling ke arah laluan spiritual kebenaran – satu-satunya jalan bagi Amerika demi menangkis kemusnahan yang bakal berlaku akibat daripada bara perkauman.”

"Tidak pernah saya diberi penghormatan yang sebegini tinggi. Belum pernah saya berasa begitu rendah hati lagi terharu . Siapa akan percaya kurniaan rahmat yang telah dilimpahkan kepada seorang yang berbangsa Negro dari Amerika? Beberapa malam yang lalu, seorang lelaki yang akan digelar sebagai ‘orang putih’ di Amerika, seorang diplomat Bangsa-bangsa Bersatu, seorang duta, pengiring kerabat diraja, telah memberikan saya bilik hotelnya, katilnya. Tidak pernah saya termimpikan untuk menerima suatu penghormatan yang sedemikian rupa - penghormatan yang di Amerika hanya dikurniakan kepada seorang Raja - bukan seorang Negro."

“Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan sekelian alam”.




Yang ikhlas,

Al-Hajj Malik El-Shabazz (Malcolm X)


(dipetik dari buku AUTOBIOGRAPHY OF MALCOLM X dengan bantuan Alex Haley, penulis buku ROOTS)

sumber foto


:: :: :: :: ::



U : Semoga para jemaah Haji memperoleh Haji yang mabrur. Kepada kaum Muslim yang lain diucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha dan selamat mengerjakan ibadah qurban. Semoga ibadah kita diterima Allah dan persaudaraan kita bertambah teguh di bawah panji Islam.

21 November 2009

Sorotan Hari Ini : Dari mana Manusia Piltdown mendapat namanya?

Antara tahun 1911 dan 1915, seorang penyelidik bernama Charles Dawson telah menemui serpihan tengkorak, sepuntung gigi dan beberapa alat perkakas di dalam sebuah longgokan batu kerikil di Piltdown, yang terletak di Sussex, England. Dunia sains menjadi ghairah dengan penemuan ini – ahli-ahli antropologi percaya bahawa fosil tulang manusia purba atau hominid telah ditemui, yakni pelengkap yang dicari-cari bagi hubungan antara mawas dan manusia. Fosil tersebut diberi gelaran Manusia Piltdown, sempena nama tempat ia ditemui. Namun demikian, gelaran Piltdown telah menjadi sinonim dengan Penipuan. Setelah 40 tahun barulah penemuan tersebut telah terbukti salah secara saintifik. Pada tarikh ini dalam tahun 1953, Manusia Piltdown telah diisytiharkan sebagai palsu. Didapati tengkorak tersebut adalah hasil penggabungan tulang manusia dan seekor orangutan.









Tengkorak Manusia Piltdown yang dibina semula.








:: :: :: :: ::




U : Agaknya tengkorak tersebut adalah hasil kreativiti seorang pengikut tegar Darwinisme ;)



20 November 2009

Diet Pembunuh

Usah asyik bersusah hati tentang AIDS, kanser dan selesema burung. Penyakit kardiovaskular membunuh lebih ramai orang daripada semua perkara lain digabungkan -- dan kebanyakannya boleh dicegah.
Dr. Dean Ornish menjelaskan bagaimana pengubahan tabiat makan kita dapat menyelamatkan nyawa.






Untuk sari kata Bahasa Melayu, klik
pada View Subtitles dan pilih Malay.
kkk
lllll
lllll
:: :: :: :: ::
lll
gghh
U : Orang Barat sudah mengakui diet orang Asia boleh mencegah penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes dan sebagainya. Malangnya, orang Asia pula yang terikut-ikut dengan gaya hidup dan diet orang Barat. Amalan Rasulullah patut dicontohi : Makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Sorotan Hari Ini : Adakah syarikat rokok disyaratkan untuk melabel kotak rokok mereka dengan amaran tentang bahayanya rokok kepada kesihatan?

Akta Pencegahan Merokok Keluarga dan Kawalan Tembakau – diluluskan sebagai undang-undang pada Jun 2009 – menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 50% daripada bahagian hadapan dan belakang kotak rokok harus dikhaskan untuk diletakkan amaran tentang kesan bahaya rokok terhadap kesihatan. Jika anda sedang berfikir-fikir hendak berhenti merokok tetapi belum berupaya melakukannya, inilah harinya. Hari ini merupakan acara tahunan yang ke-32 bagi The Great American Smokeout atau Hari Tanpa Rokok Amerika yang ditaja oleh Persatuan Kanser Amerika, diadakan setiap tahun pada hari Khamis ketiga bulan November. Peraturannya mudah sahaja : Jangan merokok selama 24 jam. Mungkin anda akan terdorong untuk berhenti merokok buat selama-lamanya. Beberapa tip berguna untuk berhenti merokok : amalkan kegiatan aktif, minum banyak air dan jus, ubahkan rutin anda, elakkan situasi yang boleh mendorong anda untuk merokok, dan berpakatlah dengan teman yang boleh membantu anda lalui hari tersebut dengan jayanya...dan hari-hari mendatang.

Petikan : “Sembuhkanlah saya supaya saya dapat muncul di televisyen dan beritahu orang agar berhenti merokok.” – Nat King Cole, yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru dalam tahun 1965, pada usia 45 tahun.


:: :: :: :: ::




U : Merokok bukan sahaja membahayakan diri si perokok, tetapi juga orang di sekelilingnya. Katakan "TAK NAK" kepada rokok. Ingatlah pada orang yang tersayang.

18 November 2009

Sorotan Hari Ini : Bilakah telefon tekan butang mula digunakan?

Pada 18 November, 1963, telefon tekan butang boleh didapati secara komersial di dua bandar di Pennsylvania sebagai pilihan alternatif kepada telefon dail putar; ia ditawarkan dengan harga yang lebih mahal sedikit. Pelbagai reka bentuk telefon jenis baru telah diperkenalkan di Pameran Dunia Seattle pada tahun sebelumnya. Reka bentuk telefon yang paling popular ialah Model 500, yang dicipta oleh Henry Dreyfuss, seorang pereka industri. Berikutan reka bentuk asas telefon dail putar, peralihan kepada sistem nada sentuh, dengan empat barisan nombor menggantikan kedudukan dail telah menjadi mudah. Oleh kerana setiap nombor mempunyai nada yang berbeza pada ketika itu, anda boleh memainkan suatu lagu dengan mendail nombor telefon. Bahkan, buku-buku lagu pernah diterbitkan, dengan nombor sebagai menggantikan not muzik.




:: :: :: :: ::
U : Kini telefon talian tetap sebegini sudah semakin jarang dijumpai di rumah-rumah semenjak 'revolusi wayarles' telah merobah dunia. Apakah agaknya revolusi seterusnya?

14 November 2009

Sorotan Hari Ini : Bagaimana aliran seni Impresionis mendapat namanya?

Pelukis Impresionis Claude Monet dilahirkan di Paris pada tarikh ini dalam tahun 1840. Oleh kerana minat yang mendalam terhadap suasana di luar, Monet mengamalkan penghasilan lukisan pemandangan yang sama pada waktu dan musim yang berbeza-beza, lantas menyerlahkan kesan cahaya dan suasana pada subjek berkenaan. Beliau gemar sekali melukis bunga-bungaan dan lukisan yang bertemakan bunga teratai adalah antara karya beliau yang terkenal. Salah sebuah lukisan Monet yang bertajuk Impression : Sunrise yang menjadi sumber ilham bagi nama Impresionisme untuk menggambarkan arah aliran artis yang berusaha melukis suatu pemandangan secara tepat dan objektif sambil menggunakan kesan alihan cahaya pada warna dan tekstur. Monet mengulas tentang kepentingan alam semula jadi dalam hasil karyanya : “Saya memeluk alam semula jadi tanpa berupaya menggenggamnya… mungkin kerana bunga-bungaanlah saya telah menjadi seorang pelukis.”

Petikan : “Orang memperkatakan tentang karya seni saya dan berpura-pura memahaminya seolah-olah ia perlu difahami, sedangkan ia hanya perlu dinikmati." - Claude Monet


Karya Monet :


Impression : Sunrise




Water Lilies








:: :: :: :: ::

U : Teringat lirik lagu Allahyarham P. Ramlee :

Tiada kata secantik bahasa

Untuk ku puji adinda

Tiada gambar secantik lukisan

Nak ku tunjuk perasaan...

13 November 2009

Sorotan Hari Ini : Movember?


Maksud anda November, bukan? Tidak. Maksud kami, Movember. Menurut ceritanya, pada 1999, sekumpulan lelaki di Adelaide, Australia, mendapat idea untuk mengumpul derma dengan mengajak orang menaja misai mereka. Mereka mengambil keputusan untuk mendedikasikan bulan November bagi tujuan ini, dan menggelarinya ‘Movember’ (gabungan kalimah ‘misai’ dan ‘November’). Idea tersebut telah berkembang menjadi acara sepanjang bulan bagi usaha mewujudkan kesedaran dan mengumpul dana bagi tujuan amal kebajikan kaum lelaki, terutamanya dalam isu berkaitan barah prostat dan kesihatan mental kaum lelaki. Tahun lalu, di Australia sahaja, kira-kira 125,000 orang lelaki telah menyimpan misai, dan lebih $8 juta telah dikumpulkan untuk Yayasan Kanser Prostat dan beyondblue, sebuah organisasi kebangsaan yang menangani masalah depresi atau kemurungan dan masalah kesihatan mental yang lain. Ada hanya beberapa syarat sahaja bagi lelaki yang ingin menyertai usaha amal ini. Mereka harus mula dengan muka yang bersih bercukur pada 1 November dan menyimpan misai sepanjang bulan tersebut – jambang dan janggut tidak dibenarkan.



:: :: :: :: ::


U : Macam-macam gelagat dan ragam manusia. Geli pula rasanya membayangkan misai yang panjang berfungsi sebagai "penapis teh" semula jadi...hehe. Apa-apa pun, kesihatan dan kebersihan diri harus diutamakan. Rasul kita s.a.w juga menggalakkan kaum Muslimin agar memotong/menipiskan misai dan menyimpan janggut.

04 November 2009

Sorotan Hari Ini : Siapakah yang mencipta mesin daftar tunai?


James dan John Ritty telah menghasilkan prototaip mesin daftar tunai dan mempatenkan ia pada tarikh ini dalam tahun 1879. James Ritty merupakan seorang penjaga sebuah bar yang para pelayannya sering kali menggelapkan keuntungan dengan tidak menyerahkan wang tersebut kepada bos mereka. Adiknya, John, merupakan seorang mekanik. Mereka berdua pun bekerjasama mereka cipta sebuah mesin yang boleh merekodkan urus niaga tunai di bar tersebut. Mereka menggelari alat ciptaan mereka itu "Juruwang Ritty yang Amanah". Alat itu tidak mempunyai laci wang tunai; sebaliknya terdapat punat kekunci yang mewakili jumlah wang tertentu. Pekerja akan menekan kekunci yang berkenaan bagi setiap jualan, lantas urus niaga tersebut terus terdaftar pada waktu itu juga. Pada penghujung hari kerja, Ritty dapat mengenal pasti sekiranya ada wang yang hilang.
Kesudahannya, Ritty bersaudara itu mengambil keputusan untuk menjual kepentingan masing-masing dalam kilang mesin daftar tunai yang dibuka mereka. John H. Patterson telah membeli hak milik dan menukar nama syarikat tersebut kepada National Cash Register Company.



:: :: :: :: ::

U : Walau secanggih mana pun ciptaan peralatan kawalan pada masa kini, ada saja manusia yang pasti akan cuba menerobosinya. Tiada apa yang dapat mengatasi kecanggihan otak manusia melainkan Penciptanya.

03 November 2009

Sorotan Hari Ini : Apakah haiwan pertama yang pernah menjelajahi angkasa lepas?

Seekor anjing bernama Laika menjadi haiwan pertama yang dihantar ke ruang angkasa pada tarikh ini dalam tahun 1957. Kesatuan Soviet telah melancarkan anjing kacukan ini ke orbit menaiki Sputnik 2, satelit kedua buatan manusia. Malangnya, tiada langkah persediaan dibuat bagi memastikan kepulangan anjing ini dengan selamat dan Laika telah mati di angkasa lepas. Pengorbanannya telah merintis jalan buat manusia hingga berjaya mengembara ke angkasa lepas, justeru membuktikan bahawa benda-benda hidup boleh bertahan dalam keadaan tanpa berat atau kenirberatan. Haiwan lain, termasuk tikus-tikus Amerika dan anjing-anjing Rusia, pernah dihantar berpergian dalam perjalanan pendek suborbit ke angkasa sebelum Laika. Laika adalah seekor anjing terbiar yang dipungut di jalanan sahaja.
Di Amerika, hari ini menandakan permulaan Minggu Apresiasi Pusat Perlindungan Haiwan Kebangsaan, dinaungi oleh Persatuan Kemanusiaan Amerika Syarikat. Matlamatnya ialah untuk menggalakkan kesedaran orang ramai terhadap peranan yang dimainkan oleh pusat-pusat perlindungan ini demi menjaga keselamatan haiwan-haiwan terbiar, selain memelihara kesejahteraan dan keselamatan komuniti.






Laika semasa di dalam kapsul.





:: :: :: :: ::

U : Kalaulah persatuan kemanusiaan sebegini menghargai kesentosaan sesama manusia sebagaimana mereka begitu prihatin terhadap kesejahteraan haiwan terbiar, mungkin situasi di Palestina dapat ditangani dengan lebih berkesan.

24 Julai 2009

Menyingkap Bagaimana Kanak-kanak Mudah Menguasai Dua Bahasa

oleh LAURAN NEERGARD, penulis perubatan Associated Press.

WASHINGTON – Masa terbaik untuk mempelajari bahasa asing : antara waktu lahir dan usia 7 tahun. Sudah terlepas kesempatan itu?

Kajian baru menunjukkan bagaimana otak kanak-kanak berupaya menguasai dua bahasa dengan begitu mudah. Saintis berharap penemuan ini akhirnya dapat membantu kita semua mempelajari satu bahasa baru dengan lebih mudah sedikit.

“Kami fikir sesetengah daripada keajaiban yang kanak-kanak gunakan dalam situasi pembelajaran ini dapat diimport ke dalam program untuk orang dewasa,” kata Dr. Patricia Kuhl dari Universiti Washington. Beliau adalah salah seorang daripada ahli kumpulan antarabangsa yang kini sedang cuba mengubah prinsip-prinsip itu menjadi teknologi yang boleh diajarkan.

Setiap bahasa menggunakan satu set bunyi yang unik. Saintis kini tahu bahawa bayi dilahirkan dengan keupayaan untuk membezakan semua bunyi berkenaan, tetapi keupayaan tersebut mula menjadi lemah sebelum mereka mula bercakap menjelang ulang tahun pertama lagi.

Kuhl memberikan satu misalan : Orang Jepun tidak membezakan antara bunyi huruf “L” dan “R” dalam bahasa Inggeris – “rake” dan “lake” bunyinya sama sahaja. Kumpulan beliau telah membuktikan bahawa bayi berusia 7 bulan di Tokyo dan bayi 7 bulan di Seattle memberi respons yang sama baik kepada bunyi yang berbeza-beza itu. Tetapi menjelang usia 11 bulan, bayi Jepun itu telah kehilangan banyak keupayaan tersebut.

Berhenti sejenak – bagaimana hendak menguji seorang bayi? Dengan mengesani tatapan mata. Tunjukkan suatu mainan yang menarik di satu sisi ataupun sisi yang lain apabila terdapat bunyi yang tertentu. Bayi itu dengan pantasnya akan tahu untuk memandang ke sisi berkenaan apabila dia mendengar bunyi baru yang serupa.

Menguasai bahasa dominan anda mengganggu usaha mempelajari bahasa kedua yang kurang diketahui. Penyelidikan Kuhl mengatakan bahawa otak menolak bunyi-bunyi yang tidak berpadanan.

“Anda membina suatu seni bina otak yang sepadan dengan sempurna untuk bahasa Jepun ataupun Inggeris ataupun Perancis, apa sahaja bahasa ibunda yang berkenaan, Kuhl menerangkan – ataupun, jika bayi itu bernasib baik, otaknya mempunyai 2 set litaran saraf tertuju khas untuk dua bahasa."

Sungguh menakjubkan bagi bayi-bayi yang dibesarkan dengan dua bahasa – hanya dengan bercakap kepada mereka dalam dua bahasa – mereka dapat mempelajari kedua-dua bahasa berkenaan dalam masa yang sama diambil oleh kebanyakan bayi untuk mempelajari satu bahasa.

Penyelidik Itali hairan mengapa tiadanya kelambatan, dan melaporkan dalam jurnal Science bulan ini bahawa kebolehan menguasai dwibahasa menjadikan otak lebih fleksibel atau mudah disesuaikan.

Penyelidik-penyelidik itu telah menguji 44 orang kanak-kanak 12 bulan untuk melihat bagaimana mereka mengenal contoh-contoh perkataan tiga suku kata – perkataan-perkataan yang tiada makna, hanya sekadar untuk menguji pembelajaran bunyi. Memang betul, kaedah mengesani tatapan mata bayi menunjukkan bahawa bayi dwibahasa mengetahui dua jenis contoh pada masa yang sama – seperti lo-ba-lo atau lo-lo-ba – sementara bayi satu bahasa hanya tahu satu contoh sahaja. Demikianlah yang disimpulkan oleh Agnes Melinda Kovacs dari Sekolah Antarabangsa bagi Pengajian Lanjutan di Itali.

Meskipun pembelajaran bahasa baru adalah paling mudah menjelang usia 7 tahun, keupayaan ini jelas merosot selepas baligh.

“Kita melihat otak sebagai sesuatu yang lebih mudah dibentuk dan bersedia mewujudkan litaran baru pada waktu sebelum baligh daripada selepas baligh,” ujar Kuhl. Bagi seorang dewasa, “prosesnya berbeza sama sekali. Anda tidak akan dapat mempelajari bahasa dalam cara yang sama. Anda tidak akan menjadi (sefasih) penutur asli.”

Namun satu tinjauan yang bakal diterbitkan tidak lama lagi dari Pusat Linguistik Gunaan, sebuah organisasi tanpa untung (nonprofit) yang membuat penyelidikan tentang isu-isu berkaitan bahasa, menunjukkan bahawa sekolah-sekolah rendah di A.S. telah mengurangkan pengajaran bahasa asing dalam sedekad yang lalu. Kira-kira suku daripada sekolah rendah kerajaan pernah mengajar bahasa asing pada 1997, tetapi tinggal 15 peratus sahaja pada tahun lalu, menurut dapatan awal yang diumumkan di laman web pusat tersebut.

Apakah yang mungkin dapat membantu orang yang sudah terlepas kesempatan semasa zaman kanak-kanak mereka? Otak bayi memerlukan interaksi secara peribadi untuk meresapkan suatu bahasa baru – TV atau CD semata-mata tidak berkesan. Justeru penyelidik sedang memperbaik teknologi yang biasa digunakan oleh orang dewasa untuk mempelajari bahasa, untuk menjadikan ia lebih bercirikan pergaulan dan barangkali dapat memanfaatkan litaran otak yang lazim kanak-kanak gunakan.

Ingat kembali kesukaran menyebut “L” dan “R” dalam bahasa Jepun? Kuhl dan saintis di Universiti Tokyo Denki dan Universiti Minnesota membantu membangunkan sebuah program bahasa komputer yang memaparkan orang bercakap dalam “bahasa mengagah”, yakni bunyi yang berupa patah-patah perkataan yang biasa digunakan ibu bapa ketika bersama bayi mereka.

Pelajar kolej berbangsa Jepun yang kurang terdedah kepada bahasa Inggeris lisan telah menjalani 12 sesi mendengar bunyi sebutan yang memberi penekanan kepada huruf “L” dan “R” sambil menonton wajah komputer pengajarnya menyebut perkataan dalam bahasa Inggeris. Pengimbas otak – sebuah alat yang kelihatan seperti pengering rambut bergelar MEG, iaitu singkatan bagi magnetoencephalography – yang mengukur aktiviti milisaat demi milisaat menunjukkan bahawa para pelajar tersebut lebih cekap membezakan antara bunyi-bunyi dalam bahasa Inggeris yang begitu asing bagi mereka. Mereka juga berupaya menyebutnya dengan lebih baik, lapor pasukan itu dalam jurnal Neurolmage.

“Ini merupakan cubaan awal kami secara kasar buat pertama kalinya tetapi hasilnya luar biasa sekali,” kata Kuhl.

Namun beliau lebih suka melihat ibu bapa memahami ilmu biologi dan mendedahkan anak kecil mereka sejak dari awal lagi. Jika anda bertutur bahasa kedua, amalkanlah ia di rumah, ataupun carilah kumpulan bermain atau pengasuh yang membolehkan anak anda selalu mendengar pertuturan bahasa lain.

“Anda akan terkejut,” ujar Kuhl. “Otak mereka memang mudah menerimanya ibarat span menyerap air.”

--------------------
NOTA EDITOR – Lauran Neergaard membuat liputan isu-isu berkaitan kesihatan dan perubatan untuk Associated Press di Washington.


[sumber foto]

:: :: :: :: ::

U : Ada seorang rakan penterjemah yang ingin mencari calon isteri-isteri berlainan bangsa dari 4 benua berbeza yang juga berkerjaya sebagai penterjemah dengan harapan memperolehi zuriat-zuriat yang berupaya memahami berbilang bahasa! Semoga beliau berjaya dan bolehlah membuka sebuah perniagaan keluarga yang menawarkan perhidmatan penterjemahan antarabangsa ;-}

03 April 2009

Wanita Temui Cek Bank $357,959 dan Memulangkannya

Oleh JOHN ROGERS, Penulis Associated Press.


LOS ANGELES – Sewaktu berjalan pulang dari pejabat pos, Talon Curtis menyangka dia terjumpa di atas tanah, satu tiket loteri dengan tawaran gimik yang berbunyi lebih kurang seperti “$357,959.55” dalam huruf besar tebal dan “Ini bukan cek sebenar” dalam huruf yang lebih kecil. Namun sewaktu beliau hendak mengutip kertas itu dari kawasan letak kereta untuk membuangnya ke dalam tong sampah demi memelihara kebersihan alam, beliau perhatikan yang cek itu sememangnya cek bank (cashier’s cheque) sebenar dengan tandatangan yang sebenar.

“Saya bagai tidak percaya. Saya nyaris pengsan,” Curtis yang bekerja sebagai perunding pinjaman, memberitahu The Associated Press Rabu lalu. “Saya belum pernah melihat cek sebesar itu, bukan yang milik sayalah.”

Beliau pun terus berusaha mencari si penerimanya yang sah, tetapi ketika itu sudah waktu petang Sabtu dan semua bank bakal tutup. Pada hari Isnin, dengan bantuan seorang wartawan KCAL-TV, Dave Malkoff, beliau telah berjaya mengesan pemilik cek tersebut, yang tiba ke bank dalam keadaan cemas.

“Saya fikir dia baru masuk ke dalam bank ketika pengurus bank itu menghubungi saya,” kata Curtis. “Saya boleh dengar bunyi langkahnya menuju ke arah pengurus dan suasana kecoh di latar belakang.”

Curtis berkata yang beliau telah bercakap sekejap dengan wanita berkenaan melalui telefon dan merancang untuk bertemu, Walau bagaimanapun, pihak Bank Pacific Mercantile sebaliknya telah mengarahkan beliau mengepos cek itu kepada mereka.

Untuk mengelak sebarang risiko dengan penghantaran melalui pos, Curtis telah membawa sendiri cek itu ke bank. Seorang kakitangan bank telah mengesahkan penerimaan cek tersebut.

Kata Curtis, beliau tidak pernah ada niat untuk menyimpan cek itu untuk dirinya sendiri, dan beliau menolak tawaran ganjaran daripada wanita tersebut. Namun begitu, beliau berasa terkilan sedikit.

“Saya teringin hendak melihat wajahnya,” kata Curtis sambil ketawa. “Saya cuma ingin dia tahu bahawa masih ada lagi orang yang jujur di dunia ini.”



:: :: :: :: ::


U : Masih ramai lagi orang yang jujur di dunia ini sebenarnya..... cuma, mereka ini jarang-jarang terjumpa sejumlah wang sebesar itu tercicir di tepi jalan. ;)

06 Mac 2009

Pernahkah kita menerima bil daripada Allah (swt)?

Seorang lelaki menjangkau usia 70 tahun telah ditimpa penyakit yang menyebabkan beliau tidak boleh buang air kecil. Doktor memberitahunya yang dia perlu dibedah untuk menyembuhkan penyakitnya itu. Beliau bersetuju menjalani pembedahan tersebut memandangkan masalah itu telah menyebabkan beliau mengalami kesakitan yang amat perit berhari-hari lamanya. Seusainya pembedahan, doktor pun memberi kepadanya bil yang meliputi segala kos. Setelah menatap bil tersebut, lelaki itu terus menangis. Melihat keadaan ini, doktor itu berkata, "Jika kos ini terlalu tinggi, kami boleh uruskan cara lain untuk tuan." Orang tua itu membalas, "Saya menangis bukan kerana wang tetapi saya menangis kerana Allah mengizinkan saya membuang air kecil selama 70 tahun dan DIA tidak menghantar pun bil kepada saya!"
Maha Suci Allah!
Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya. Kitab Suci Al Quran (14:34)
Pengajaran : Kita jarang-jarang sekali bersyukur kepada Allah bagi perkara sebegini yang sememangnya nikmat yang cukup besar. Cuba berhenti sejenak dan renungkan akan kurniaan-kurniaan Allah yang Maha Agung di dalam diri sendiri. Semoga Allah memberikan kita keupayaan untuk menyedari akan kurniaan-Nya dan selalu bersyukur kepada-Nya.
Diceritakan oleh Abu Dawood (no. 4177), at-Tirmidhi (no. 1877) bahawa Nabi Muhammad (saw) pernah berkata : "Orang yang tidak berterima kasih kepada orang lain, tidak bersyukur kepada Allah (swt)."

13 Februari 2009

Barang Keperluan Di Gurun

Seorang hakim menjatuhkan hukuman ke atas tiga lelaki kerana suatu jenayah yang telah mereka lakukan. Hukumannya ialah mereka perlu tinggal di sebuah gurun selama beberapa tahun. Hakim itu membenarkan mereka bertiga membawa satu barang setiap seorang.

Lelaki pertama ingin membawa payung agar dia dapat berteduh pada bila-bila masa sahaja.

Lelaki kedua mahu membawa botol air supaya dia tidak akan dahaga.

Akhir sekali, lelaki ketiga memutuskan untuk membawa pintu kereta.

Hakim itu bertanya, "Mengapalah kamu hendak membawa pintu kereta pula?" Lelaki itu membalas, "Kalau-kalau hari panas nanti, bolehlah saya turunkan cerminnya."



:: :: :: :: ::




U : Bawa "Sand Castle Set" pun okey juga...bila-bila bosan, boleh bina istana pasir ;)





23 Januari 2009

Lembu Jantan Yang Bijak

Ada sebuah hutan yang dihuni oleh pelbagai unggas dan haiwan. Pada suatu hari, seekor lembu jantan yang sedang merayau-rayau di hutan itu telah terjumpa sebuah gua. Berhampiran gua itu, terdapat sebuah kolam yang besar dan padang rumput yang hijau dan subur. “Tempat ini memang sesuai untuk aku menetap,” fikir lembu itu. Maka ia pun menjadikan gua itu tempat tinggalnya. Banyak hari telah berlalu, lembu jantan itu bertambah sihat setelah meragut rumput di padang. Sang Lembu berasa bahagia dan tenteram tinggal di gua. Ia dapat ramai kawan di hutan itu.

Pada suatu hari, sang lembu sedang berehat-rehat di luar rumah guanya. Kebetulan pula seekor singa sedang menuju ke arah situ. Girangnya hati sang singa apabila ternampak seekor lembu jantan setelah berjalan begitu lama. “Aha! Lembu jantan! Sihat pula tu,” fikir sang raja rimba, terus terliur suatu hidangan yang lazat. Lembu jantan itu juga nampak akan singa itu. Ia dapat merasakan dirinya dalam bahaya. “Aku harus berjaga-jaga sekarang,” fikir lembu itu dan memutuskan untuk berbuat sesuatu untuk mengelak diri daripada sang singa.

Apabila sang singa menghampiri lembu itu, sang lembu yang bijak menjenguk ke dalam gua lalu berteriak, “Sayang, tak payahlah masak apa-apa untuk makan malam. Saya baru saja ternampak seekor singa. Saya sedang menunggu ia datang dekat ke mari.” Apabila singa itu terdengar kata-kata sang lembu, ia pun terus berpatah balik seraya berlari menyelamatkan dirinya.

Seekor serigala telah ternampak singa itu tercungap-cungap berlari. “Mengapa awak berlari, Tuan Singa?” tanya sang serigala. Singa itu menceritakan apa yang telah berlaku. “Lembu jantan itu telah membodohkan tuan,” balas serigala itu. Sang serigala menambah lagi, “Mari ikut saya. Bolehlah kita sama-sama menjamu selera dengan daging lembu itu.” Tetapi sang singa terlalu gementar untuk mempercayai serigala itu.

Sang serigala faham mengapa singa itu teragak-agak untuk mengikutnya. “Baiklah! Ikatkan ekor tuan pada ekor saya dan biar saya yang pimpin tuan ke gua lembu itu. Kalaulah lembu itu menyondol, sayalah yang akan terkena dahulu,” kata sang serigala.

Sang singa bersetuju dengan rancangan serigala itu. Kemudian, singa dan serigala itu mengikat sekali ekor masing-masing. Kedua-duanya pun mula berangkat ke gua lembu jantan itu.

Sang Singa dan Sang Serigala berjalan menghampiri gua kediaman lembu itu. Apabila sang lembu melihat singa itu datang bersama serigala, ia terfikir, “Pastinya serigala yang licik itu tahu aku telah memperdayakan singa itu. Tanpa rasa cemas, sang lembu berteriak kepada serigala itu, “Kankah aku suruh engkau bawa balik dua ekor singa. Engkau hendak aku biarkan anak-anak aku kelaparan?”

Kali ini pun singa itu masih tidak sedar yang sang lembu sedang mengakalinya sekali lagi. Ia mula naik gerun. Ia terus berlari sekuat tenaga lantas menyeret serigala itu sekali mengharung batu-batu, onak dan duri. Lembu jantan yang bijak itu telah mengakali musuh-musuhnya dan berjaya menyelamatkan diri.

Singa dan serigala itu tidak lagi pergi ke sana. Selepas itu sang lembu dapat hidup dengan aman dan bahagia bersama isteri dan anak-anaknya.


:: :: :: :: ::

U : Khusus buat kaum Cina di Malaysia, diucapkan GONG XI FA CAI. Selamat Menyambut Tahun Baru Lembu :)




16 Januari 2009

Menyusun Rak Buku Yang Teratur

Rak buku yang teratur dan kelihatan seimbang dapat memudahkan kita mencari buku. Berikut adalah beberapa tip untuk membina sebuah perpustakaan yang teratur, efisien lagi mudah digunakan.

Menyusun Buku-buku Anda

Adakah susunan buku-buku anda agak kelam-kabut? Begini caranya untuk mengubah timbunan buku yang tunggang-langgang itu menjadi susunan yang kemas, mudah digunakan dan teratur di atas rak buku:

* Kira berapa buah buku yang anda miliki dan berapa luas ruang yang ada pada rak berkenaan. Jikalau anda mempunyai lebih banyak buku daripada ruang di atas rak, pilih-pilihlah buku dalam koleksi anda ataupun tambahkan lagi rak buku.
* Kategorikan buku-buku itu berdasarkan pada pandangan anda - menurut topik, era, pengarang, ataupun "sudah baca" dan "belum baca".
* Susunkan buku bagi setiap kategori menurut pengarang ataupun tajuk mengikut urutan abjad. Ataupun susun buku-buku itu mengikut saiz.
* Labelkan bahagian-bahagian rak buku anda. Pemegang label plastik jernih yang boleh didapati dari syarikat pembekal perkakas perpustakaan, diletakkan di bawah buku-buku di atas rak dan boleh dialihkan dengan mudah. Cetakkan istilah penerangan bagi setiap bahagian, kemudian, selitkan ke dalam pemegang tersebut.
* Dirikan beberapa perpustakaan kecil di bilik-bilik berlainan di rumah anda. Misalnya, letakkan buku-buku masakan di atas rak almari dapur. Tempatkan sebuah rak buku yang rendah di tepi katil sebagai meja katil.
Tip: Buatkan label-label kecil untuk membahagikan kategori buku anda. Taip dan cetakkan nama kategori tersebut pada stok kad, iaitu sejenis kertas yang berat dan tebal. Lipatkan kad itu supaya sebahagian daripada label itu boleh diselipkan di bawah beberapa buah buku.

Periksa buku-buku mana yang sudah anda baca

Anda dapat ingat apa yang anda baca dan pandangan anda tentang buku berkenaan dengan menyimpan jurnal buku. Jurnal boleh didapati di kedai-kedai buku, ataupun rekalah halaman anda sendiri dalam komputer untuk dicetak dan disimpan di dalam penjilid.


Masukkan ruang untuk :
* Tajuk
* Pengarang
* Penerbit
* Tarikh anda membacanya
* Ringkasan plot
* Bahagian-bahagian yang disukai
* Bahagian-bahagian yang kurang disukai

Jurnal buku bukan sahaja dapat mengingatkan anda tentang apa yang telah anda baca tetapi juga dapat membantu nanti apabila seorang kawan bertanya, "Hei, awak ada baca buku-buku menarik kebelakangan ini?"


Penjagaan dan Pembaikan Buku

Ikutlah tip-tip ini untuk menjaga dan memanjangkan lagi hayat buku anda :

* Pasang alat penyahlembap di bilik yang berisi banyak buku untuk mengurangkan kesan lembapan yang boleh menyebabkan kulapuk.
* Simpan sebuah kit asas untuk membaiki buku di tempat berdekatan bagi kerja pembaikan yang mudah.
Pelajarilah apa yang perlu disimpan dalam sebuah kit membaiki buku.
* Tulang belakang buku terkoyak? Sedikit glu dan beberapa gelang getah berguna untuk memulihkan semula tulang belakang buku. Lihat bagaimana cara untuk membaiki tulang belakang buku yang terkopak.


Menyediakan sebuah kit membaiki buku

Menyediakan sebuah kit membaiki buku itu mudah - dan kebanyakan bahannya boleh didapati di sekitar rumah sahaja!
Apa yang anda perlukan:
* Pita filamen
* Clear book tape atau pita buku lut cahaya untuk membaiki dan memperkukuh halaman-halaman dan tulang belakang buku yang lekang.
* Pemadam getah untuk menghilangkan tanda pensel.
* Kertas pasir gred halus untuk menghilangkan kesan-kesan kotor yang berkerak.
* Gelang getah untuk mengekalkan kedudukan bahagian yang direkatkan.

Simpan kit membaiki buku ini di dalam kotak kecil dan letakkan ia di atas rak buku supaya anda dapat membaiki buku dengan mudah dan cepat.

Tip : Glu bebas asid bagi membaiki pelekat sendi buku cepat menjadi kering, jadi belilah hanya apabila ia diperlukan.

Membaiki tulang belakang buku yang terkopak

Baiki tubir buku yang terkoyak dengan langkah mudah ini:
Apa yang anda perlukan:

* Glu bebas asid
* Kertas lilin
* Gelang getah
*Buku-buku tambahan (sebagai pemberat)
* Clear book tape atau pita buku berperekat lut cahaya

Arahan:

1. Sapukan glu bebas asid ke atas bahagian yang terdedah. Pastikan ia tidak terlalu banyak, jika tidak, bertompok-tompok pula jadinya.
2. Tekankan kulit buku pada tulang belakang dan kemudian balut dengan kertas lilin. Ikat kemas buku itu rapi-rapi dengan gelang getah.

Letakkan buku-buku tambahan sebagai pemberat di atas buku tadi dan biarkan ia kering semalaman. Perteguh tulang belakang buku itu dengan pita lut cahaya (clear tape).


Memberi Tanda Nama pada buku anda


Di sini ada dua cara bagi menetapkan buku-buku anda adalah hak milik anda:

* Cetak timbul nama ataupun parap anda di halaman pertama. Pastikan plat timbul itu boleh diputar untuk mengelakkan teraan yang terbalik.
* Tampalkan plat buku atau label pada halaman pertama ataupun sebelah dalam kulit buku. Anda boleh beli plat buku yang kosong untuk diisi nama anda ataupun anda boleh membuatnya sendiri. Jika label itu bukan jenis yang berpelekat, lekatkan ia dengan gam yang bermutu arkib, yakni yang tahan lama.

Tip : Ex libris, "dari perpustakaan milik..." dalam bahasa Latin, biasanya tertulis di atas plat buku.

Cetak Timbul Kering nama anda di atas buku

Jika anda ingin mencetak timbul nama anda di atas buku tetapi anda tidak tahu caranya, tidak perlulah tercari-cari lagi! Ikut langkah-langkah mudah ini untuk menjadi pakar mencetak timbul tanpa menggunakan cap.

Apa yang anda perlukan:

* Stensil huruf, iaitu helaian kertas atau kepingan nipis plastik, logam, dan sebagainya yg ditebuk utk menghasilkan huruf atau reka bentuk.
* Meja cahaya (Meja yang mempunyai lampu di bawah permukaannya untuk meneliti bahan lutsinar, seperti slaid.)
* Painter's tape atau pita lindung, iaitu pita untuk melekatkan sesuatu benda dengan benda yang lain.
* Jarum lakar (stylus)

Arahan:
1. Telangkupkan stensil itu di atas meja cahaya dan lekatkan ia dengan pita supaya tetap kedudukannya.
2. Letakkan halaman pertama buku anda dalam keadaan telangkup di atas stensil tersebut.
3. Gunakan jarum lakar untuk melukis tubir stensil itu. Anda telah menghasilkan suatu imej - terbalikkan halaman tadi untuk melihat reka bentuk yang timbul itu.

Tip: Untuk menjadikan imej itu lebih menonjol, gosokkan kertas pasir pada imej yang ditekap semula dengan stensil itu. Untuk mendapatkan hasil yang memuaskan, kertas itu haruslah berteraskan warna putih. Stok kad atau kertas berukuran berat tidak boleh digunakan.

:: :: :: :: ::

U : Suka tengok rumah orang putih dalam TV - rak mereka penuh dengan buku. Rak di rumah orang Melayu pula penuh dengan pinggan mangkuk....hmm. Lain padang, lain belalang. Orang Melayu kan gemar berkenduri-kendara, meraikan tetamu. Tentulah perlukan pinggan mangkuk yang banyak...ye tak? ;}

09 Januari 2009

Hidup Di Bawah Ancaman Serangan Israel

oleh Ola Attallah, wartawan IOL



GAZA CITY– “Tiada seorang pun yang berani keluar rumah,” ujar seorang ibu Palestin yang menderita di Genting Gaza yang dilanda serangan bom.

Kehidupan Abu Anas Al-Banna, isterinya dan 10 anak mereka terbatas pada ruang di dalam rumah kecil mereka di Gaza City.

Mereka terkurung di dalam rumah sendiri, sama seperti keluarga-keluarga lain di Gaza.

Anak-anak tidak lagi ke sekolah, dan si bapa pula tidak lagi pergi ke tempat kerja mahupun bersembahyang di masjid.

Mereka bimbang akan menjadi korban tentera Israel yang menggempur kawasan melarat di sempadan pinggir laut itu semenjak hari Sabtu dan telah meragut lebih 414 nyawa.

Keluarga Al-Banna menempuh masa siang mereka dalam terketar-ketar tatkala bunyi ledakan bom serangan Israel, yang kini masuk hari yang keenam, berdentam-dentum membingitkan telinga.

Ibu bapa yang menderita ini terus menerpa setiap kali anak mereka mendekati tingkap atau berani membuka pintu untuk mengintai ke jalan-jalan yang lengang di luar.

“Kami betul-betul takut,” kata si isteri, sambil memegang erat anak lelakinya, Sami, 3 tahun, yang tidak henti-henti menangis.

“Saya sendiri pun mahu menjerit cemas, tapi saya tidak boleh buat begitu. Saya harus tabah demi anak-anak saya. Kalau tidak, apa akan terjadi kepada mereka.”

Si bapa yang tidak berdaya itu mengumpulkan keluarganya lalu sama-sama mereka memanjatkan doa.

“Jeritan mahupun air mata tidak dapat menyelamatkan kita,” beliau memberitahu mereka.

“Berdoalah. Hanya doa sahaja senjata kita yang tinggal.”


Malam-malam yang menggerunkan

Terbenamnya matahari pun tidak membawa ketenangan dalam hati keluarga Al-Banna.

“Saya berasa betul-betul takut pada waktu malam,” bisik Lina, anak perempuannya yang berusia 14 tahun, dari penjuru katilnya.

Adik lelakinya, Anas, berada di sisinya, terketar-ketar dalam ketakutan, meskipun bedilan bom Israel secara besar-besaran di kawasan perumahan mereka sudah lama berlalu.

“Saya tidak dapat merasai apa-apa lagi. Semua deria saya sudah tiada.”

Dahulu, anak-anak ini tidur di bilik-bilik berasingan. Namun semenjak serangan hebat tentera Israel bermula, bapa mereka memutuskan bahawa seluruh keluarga patut tidur sebilik.

Mereka terpaksa memilih dengan berhati-hati bilik yang paling terlindung daripada sebarang serangan tentera Israel.

“Kami pilih untuk tidur di bilik tingkat bawah yang tidak bertingkap, di penjuru yang hujung sekali,” kata si bapa yang menyimpan alat pertolongan cemas di tempat berdekatan.

Namun begitu, tiada seorang pun ahli keluarganya yang dapat tidur nyenyak semalaman.

Anak-anaknya menutupi muka dan telinga mereka dengan jari untuk mengelak bunyi gegak gempita bedilan serangan tentera Israel.

“Setiap kali, terasa seperti mengucapkan salam perpisahan kepada satu sama lain . Kami tidak tahu sama ada kami akan terus hidup buat sehari lagi.”





Kanak-kanak menjadi mangsa tidak berdosa dalam serangan hebat tentera Israel. (Reuters)




:: :: :: :: ::


U : Selepas dua minggu, kekejaman Israel telah meragut lebih 800 nyawa dan mencederakan lebih 3,000 orang penduduk Palestin. Angka ini sudah barang pasti akan terus meningkat.
Sementara para pemimpin dunia masih terhegeh-hegeh membina sekadar ayat-ayat "tegas tapi diplomatik" dalam resolusi untuk mengecam tindakan rejim Israel itu, marilah kita menggunakan kuasa kita sebagai pengguna untuk menghukum samseng-samseng zionis.
Marilah kita mencari alternatif barangan lain bagi menggantikan barangan keluaran
syarikat-syarikat yang mendukung negara pengganas ini.

Keranda Tanpa Jenazah di Gaza

Oleh Ola Atallah, wartawan IOL.


GAZA CITY – Ini pengebumian anak lelakinya. Demikianlah yang diberitahu kepada Fayez Al-Sayed.

Tetapi bapa mangsa dari Gaza itu masih tergamam dan tidak dapat menerima hakikat tersebut.

“Saya tidak nampak pun jasadnya,” teriak si bapa yang dilanda hiba itu.

Anak lelakinya, Shadi, dilaporkan terbunuh sewaktu serangan hari pertama tentera Israel ke atas Genting Gaza yang terkepung itu, iaitu kawasan yang paling padat penduduknya di dunia.

Gempuran hebat yang sudah masuk hari kelapan Sabtu lalu, 3 Januari, terdiri daripada lebih 750 serangan yang telah membunuh lebih 435 penduduk Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 75 kanak-kanak dan 21 wanita.

Serangan ini – salah satu penggempuran Israel ke atas Gaza yang paling dahsyat – telah mengakibatkan lebih 2,285 orang tercedera.

Bedilan daripada pesawat perang dan kapal tentera laut telah meranapkan bangunan-bangunan kerajaan, rumah-rumah, sekolah, hospital dan masjid. Akibatnya, ramai telah terperangkap di bawah runtuhan-runtuhan ataupun sudah berkecai dalam letupan.

“Mereka kata serangan udara telah memusnahkan tempat kerjanya. Tetapi mereka tidak menemui mayatnya,” kata Al-Sayed. Beliau masih menunggu-nunggu sesuatu bukti yang dapat mengesahkan kematian anaknya, sesuatu yang boleh disemadikan dan bukan sekadar mengebumikan keranda kosong sahaja.

“Saya cuma ingin melihat secebis kulit ataupun serpihan tulang. Saya perlu melihatnya dengan mata kepala saya sendiri yang anak saya betul-betul sudah tiada.

“Menghadiri pengebumian anak sendiri pun sudahlah cukup pedih, tetapi yang lebih memilukan lagi ialah untuk menerima hakikat bahawa anak kita telah terkorban walaupun mayatnya tidak ditemui."

Adel Atea masih tercari-cari barang apa jua kesan peninggalan abangnya di runtuhan bangunan-bangunan yang telah dibedil bom itu. Dia berasa kecewa dan marah.

“Hak kami untuk meratapi mereka yang terkorban pun mahu dirampas Israel.”

“Sungguh tidak adil kami kehilangan orang yang dikasihi dengan cara begini.”

Keranda Kosong

Keluarga Abdel-‘Al juga sedang melalui dugaan yang sama.

Anak lelaki mereka, Aamer, dilaporkan telah terbunuh dalam serangan tentera Israel.

Orang ramai memberitahu ibu bapanya yang sedang berdukacita itu bahawa kad pengenalan anak mereka telah ditemui di bangunan tempat kerjanya yang kini sudah menjadi runtuhan batu.

“Dia sudah mati? Di mana mayatnya?” tanya ibu Aamer dalam sedu-sedan.

Beliau enggan mengadakan pengebumian sehinggalah ada sesuatu yang boleh diisemadikan.

“Mana tahu, mungkin dia masih hidup di luar sana.”

Keluarga Mohamed Salim pula tidak dapat menaruh harapan lagi.

Mereka menerima selonggok kecil cebisan kulit dan tulang yang dikhabarkan kepada mereka adalah saki-baki mayat anak lelaki mereka.

Sungguhpun saki-baki jasad mayatnya tidaklah banyak, keluarga itu tetap mengadakan upacara pengebumian dan mengusung keranda yang hampir tidak berisi itu ke tanah perkuburan.

Nasib yang sama turut menimpa keluarga Amgad Hamid.

Mereka menerima anggota badan yang terpisah daripada jasad anak lelaki mereka yang telah hancur di bawah runtuhan sebuah lagi bangunan yang dibedil Israel.

“Itu sahaja saki-baki mayatnya yang tinggal,” ujar si ibu yang sedang berdukacita.

“Sungguh kejam. Anak lelaki saya, permata hati saya, sudah tiada lagi dan saya tidak dapat pun mengucapkan salam perpisahan kepadanya. Saya tidak dapat memberinya kucupan terakhir.”




Ramai rakyat Palestin tertimbus di bawah runtuhan bangunan-bangunan yang dibedil oleh Israel. (Reuters)






:: :: :: :: ::

U : Dari Allah kita datang dan kepada Allah jua kita kembali.
Semoga mereka yang terkorban ditempatkan Allah bersama golongan Abrar. Amin.
Ya Allah, selamatkanlah saudara-saudara kami di Palestin. Turunkanlah bantuanmu kepada mereka. Tiada daya dan kuasa melainkan dengan daya dan kuasa mu, ya Allah, yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Engkaulah Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.
Amin.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Marilah kita sama-sama berusaha meringankan sedikit beban saudara-saudara kita di sana dengan menghulurkan sumbangan kepada badan-badan amal seperti Islamic Relief Malaysia, MERCY Malaysia mahupun tabung-tabung khas yang diadakan untuk membantu mangsa-mangsa serangan di Gaza. Semoga Allah permudahkan usaha para sukarelawan menyalurkan bantuan-bantuan tersebut.



02 Januari 2009

Kisah Dua Katak

Pada suatu masa dahulu, ada dua ekor katak yang tinggal di negara Jepun. Seekor tinggal di sebatang longkang berhampiran bandar Osaka yang terletak di pinggir laut, sementara yang seekor lagi tinggal di sebatang anak sungai jernih yang mengalir melalui bandar Kyoto. Dalam jarak yang berjauhan itu, katak-katak ini tidak pernah mengenali antara satu sama lain, tetapi, yang anehnya, timbul pula idea dalam kepala masing-masing secara serentak – katak-katak ini berhasrat untuk melihat dunia ini sedikit. Sang katak yang tinggal di Kyoto ingin mengunjungi Osaka, manakala katak yang tinggal di Osaka pula berhasrat untuk melawat Kyoto, tempat letaknya istana maharaja Jepun.

Maka, pada suatu pagi yang indah, dalam musim bunga, kedua-dua katak itu pun memulakan perjalanan masing-masing melalui jalan yang terbentang dari Kyoto hingga ke Osaka. Seekor di satu hujung dan seekor lagi di hujung yang bertentangan. Perjalanan yang ditempuhi lebih meletihkan daripada yang dijangka kerana katak-katak ini tidak berapa tahu tentang pengembaraan. Di pertengahan jalan, di antara dua bandar itu, ada sebuah gunung yang perlu didaki. Katak-katak itu terpaksa mengambil masa yang lama melompat untuk mencapai puncaknya, tapi akhirnya sampai juga ke atas. Alangkah terkejutnya katak itu apabila terserempak dengan seekor lagi katak di hadapannya!

Katak-katak itu saling berpandangan seketika tanpa berkata apa-apa. Kemudian barulah mula berbual rancak tentang punca pertembungan itu yang berlaku jauh dari kampung halaman masing-masing. Girang rasanya hati katak itu apabila mendapat tahu rakannya juga mempunyai niat yang sama – untuk mendalami lagi tentang tanah air sendiri. Memandangkan katak-katak itu tidak perlu tergesa-gesa, maka kedua-duanya pun merehatkan badan di kawasan yang lembap lagi sejuk, dan bersetuju untuk menghilangkan penat terlebih dahulu sebelum berpisah untuk menuju ke haluan masing-masing.

“Sayangnya badan kita tidak lebih besar,” kata katak Osaka, “kalau tidak, bolehlah kita melihat kedua-dua bandar itu dari sini dan mengagak sama ada berbaloi atau tidak kita meneruskan perjalanan kita ini.”

“Oh, itu mudah diatur,” balas katak Kyoto. “Kita berdiri saja di atas kaki belakang kita dan berpaut antara satu sama lain. Kemudian, bolehlah masing-masing meninjau bandar yang hendak dituju.”

Katak Osaka begitu suka akan cadangan ini lalu terus membingkas dan meletakkan kaki hadapan di atas bahu kawannya, yang juga telah turut bangun. Kedua-duanya pun berdiri, lalu meregangkan badan sambil memegang erat antara satu sama lain supaya tidak jatuh. Katak Kyoto menghalakan hidungnya ke arah Osaka, manakala katak Osaka pula menghalakan hidungnya ke Kyoto. Tetapi yang bebalnya, katak-katak itu terlupa bahawa apabila ia berdiri, matanya yang besar itu terletak di belakang kepala. Jadi, walaupun hidungnya mungkin menghala ke arah destinasi yang hendak dituju, matanya memandang ke tempat asal perjalanannya tadi.

“Alamak!” teriak katak Osaka, “Kyoto betul-betul seperti Osaka. Sungguh tidak berbaloi perjalanan yang jauh ini. Saya hendak pulanglah!”

“Kalaulah saya tahu Osaka serupa saja dengan Kyoto, saya tak akan mengembara jauh-jauh begini,” teriak katak dari Kyoto. Tatkala berkata demikian, ia pun melepaskan tangannya dari bahu rakannya lantas kedua-dua katak itu pun terus rebah ke atas rumput. Setelah mengucapkan selamat jalan, kedua-dua katak itu mula berangkat pulang. Sehinggalah ke akhir hayat, katak-katak itu mempercayai bahawa Osaka dan Kyoto adalah serupa sahaja, meskipun pada hakikatnya kedua-dua bandar itu begitu berbeza dari segala segi.



:: :: :: :: ::


U : Walaupun hasilnya tidaklah memberangsangkan, sekurang-kurangnya "katak-katak Jepun" ini ada juga inisiatif untuk menjelajah dunia waima di tanah air sendiri. "Katak-katak Melayu" bagaimana pula? Masih selesa duduk di bawah tempurung? ;)
Selamat tahun baru 1430H/2009M!




 
^

Powered by BloggerOMNI-TERJEMAHAN by UsuárioCompulsivo
original Washed Denim by Darren Delaye
Creative Commons License