Selain untuk berkongsi maklumat, blog ini juga menjadi medan latihan bagi saya mengasah kemahiran menterjemah.

Sebarang komen untuk memperbetul mahupun memperbaiki lagi mutu terjemahan amatlah dialu-alukan. Selamat membaca
.

:: UNTUK MELIHAT TEKS SUMBER, KLIK PADA TAJUK ENTRI ::

16 Januari 2009

Menyusun Rak Buku Yang Teratur

Rak buku yang teratur dan kelihatan seimbang dapat memudahkan kita mencari buku. Berikut adalah beberapa tip untuk membina sebuah perpustakaan yang teratur, efisien lagi mudah digunakan.

Menyusun Buku-buku Anda

Adakah susunan buku-buku anda agak kelam-kabut? Begini caranya untuk mengubah timbunan buku yang tunggang-langgang itu menjadi susunan yang kemas, mudah digunakan dan teratur di atas rak buku:

* Kira berapa buah buku yang anda miliki dan berapa luas ruang yang ada pada rak berkenaan. Jikalau anda mempunyai lebih banyak buku daripada ruang di atas rak, pilih-pilihlah buku dalam koleksi anda ataupun tambahkan lagi rak buku.
* Kategorikan buku-buku itu berdasarkan pada pandangan anda - menurut topik, era, pengarang, ataupun "sudah baca" dan "belum baca".
* Susunkan buku bagi setiap kategori menurut pengarang ataupun tajuk mengikut urutan abjad. Ataupun susun buku-buku itu mengikut saiz.
* Labelkan bahagian-bahagian rak buku anda. Pemegang label plastik jernih yang boleh didapati dari syarikat pembekal perkakas perpustakaan, diletakkan di bawah buku-buku di atas rak dan boleh dialihkan dengan mudah. Cetakkan istilah penerangan bagi setiap bahagian, kemudian, selitkan ke dalam pemegang tersebut.
* Dirikan beberapa perpustakaan kecil di bilik-bilik berlainan di rumah anda. Misalnya, letakkan buku-buku masakan di atas rak almari dapur. Tempatkan sebuah rak buku yang rendah di tepi katil sebagai meja katil.
Tip: Buatkan label-label kecil untuk membahagikan kategori buku anda. Taip dan cetakkan nama kategori tersebut pada stok kad, iaitu sejenis kertas yang berat dan tebal. Lipatkan kad itu supaya sebahagian daripada label itu boleh diselipkan di bawah beberapa buah buku.

Periksa buku-buku mana yang sudah anda baca

Anda dapat ingat apa yang anda baca dan pandangan anda tentang buku berkenaan dengan menyimpan jurnal buku. Jurnal boleh didapati di kedai-kedai buku, ataupun rekalah halaman anda sendiri dalam komputer untuk dicetak dan disimpan di dalam penjilid.


Masukkan ruang untuk :
* Tajuk
* Pengarang
* Penerbit
* Tarikh anda membacanya
* Ringkasan plot
* Bahagian-bahagian yang disukai
* Bahagian-bahagian yang kurang disukai

Jurnal buku bukan sahaja dapat mengingatkan anda tentang apa yang telah anda baca tetapi juga dapat membantu nanti apabila seorang kawan bertanya, "Hei, awak ada baca buku-buku menarik kebelakangan ini?"


Penjagaan dan Pembaikan Buku

Ikutlah tip-tip ini untuk menjaga dan memanjangkan lagi hayat buku anda :

* Pasang alat penyahlembap di bilik yang berisi banyak buku untuk mengurangkan kesan lembapan yang boleh menyebabkan kulapuk.
* Simpan sebuah kit asas untuk membaiki buku di tempat berdekatan bagi kerja pembaikan yang mudah.
Pelajarilah apa yang perlu disimpan dalam sebuah kit membaiki buku.
* Tulang belakang buku terkoyak? Sedikit glu dan beberapa gelang getah berguna untuk memulihkan semula tulang belakang buku. Lihat bagaimana cara untuk membaiki tulang belakang buku yang terkopak.


Menyediakan sebuah kit membaiki buku

Menyediakan sebuah kit membaiki buku itu mudah - dan kebanyakan bahannya boleh didapati di sekitar rumah sahaja!
Apa yang anda perlukan:
* Pita filamen
* Clear book tape atau pita buku lut cahaya untuk membaiki dan memperkukuh halaman-halaman dan tulang belakang buku yang lekang.
* Pemadam getah untuk menghilangkan tanda pensel.
* Kertas pasir gred halus untuk menghilangkan kesan-kesan kotor yang berkerak.
* Gelang getah untuk mengekalkan kedudukan bahagian yang direkatkan.

Simpan kit membaiki buku ini di dalam kotak kecil dan letakkan ia di atas rak buku supaya anda dapat membaiki buku dengan mudah dan cepat.

Tip : Glu bebas asid bagi membaiki pelekat sendi buku cepat menjadi kering, jadi belilah hanya apabila ia diperlukan.

Membaiki tulang belakang buku yang terkopak

Baiki tubir buku yang terkoyak dengan langkah mudah ini:
Apa yang anda perlukan:

* Glu bebas asid
* Kertas lilin
* Gelang getah
*Buku-buku tambahan (sebagai pemberat)
* Clear book tape atau pita buku berperekat lut cahaya

Arahan:

1. Sapukan glu bebas asid ke atas bahagian yang terdedah. Pastikan ia tidak terlalu banyak, jika tidak, bertompok-tompok pula jadinya.
2. Tekankan kulit buku pada tulang belakang dan kemudian balut dengan kertas lilin. Ikat kemas buku itu rapi-rapi dengan gelang getah.

Letakkan buku-buku tambahan sebagai pemberat di atas buku tadi dan biarkan ia kering semalaman. Perteguh tulang belakang buku itu dengan pita lut cahaya (clear tape).


Memberi Tanda Nama pada buku anda


Di sini ada dua cara bagi menetapkan buku-buku anda adalah hak milik anda:

* Cetak timbul nama ataupun parap anda di halaman pertama. Pastikan plat timbul itu boleh diputar untuk mengelakkan teraan yang terbalik.
* Tampalkan plat buku atau label pada halaman pertama ataupun sebelah dalam kulit buku. Anda boleh beli plat buku yang kosong untuk diisi nama anda ataupun anda boleh membuatnya sendiri. Jika label itu bukan jenis yang berpelekat, lekatkan ia dengan gam yang bermutu arkib, yakni yang tahan lama.

Tip : Ex libris, "dari perpustakaan milik..." dalam bahasa Latin, biasanya tertulis di atas plat buku.

Cetak Timbul Kering nama anda di atas buku

Jika anda ingin mencetak timbul nama anda di atas buku tetapi anda tidak tahu caranya, tidak perlulah tercari-cari lagi! Ikut langkah-langkah mudah ini untuk menjadi pakar mencetak timbul tanpa menggunakan cap.

Apa yang anda perlukan:

* Stensil huruf, iaitu helaian kertas atau kepingan nipis plastik, logam, dan sebagainya yg ditebuk utk menghasilkan huruf atau reka bentuk.
* Meja cahaya (Meja yang mempunyai lampu di bawah permukaannya untuk meneliti bahan lutsinar, seperti slaid.)
* Painter's tape atau pita lindung, iaitu pita untuk melekatkan sesuatu benda dengan benda yang lain.
* Jarum lakar (stylus)

Arahan:
1. Telangkupkan stensil itu di atas meja cahaya dan lekatkan ia dengan pita supaya tetap kedudukannya.
2. Letakkan halaman pertama buku anda dalam keadaan telangkup di atas stensil tersebut.
3. Gunakan jarum lakar untuk melukis tubir stensil itu. Anda telah menghasilkan suatu imej - terbalikkan halaman tadi untuk melihat reka bentuk yang timbul itu.

Tip: Untuk menjadikan imej itu lebih menonjol, gosokkan kertas pasir pada imej yang ditekap semula dengan stensil itu. Untuk mendapatkan hasil yang memuaskan, kertas itu haruslah berteraskan warna putih. Stok kad atau kertas berukuran berat tidak boleh digunakan.

:: :: :: :: ::

U : Suka tengok rumah orang putih dalam TV - rak mereka penuh dengan buku. Rak di rumah orang Melayu pula penuh dengan pinggan mangkuk....hmm. Lain padang, lain belalang. Orang Melayu kan gemar berkenduri-kendara, meraikan tetamu. Tentulah perlukan pinggan mangkuk yang banyak...ye tak? ;}

2 comments:

nwa berkata...

Terima kaseh berkongsi perihal kategori dan penyusunan buku. Cuma gambar2 disertakan tidak dapat dilihat.

nwa berkata...

Terima kaseh berkongsi perihal kategori dan penyusunan buku. Cuma gambar2 disertakan tidak dapat dilihat.

Catat Ulasan | Feed



 
^

Powered by BloggerOMNI-TERJEMAHAN by UsuárioCompulsivo
original Washed Denim by Darren Delaye
Creative Commons License