Selain untuk berkongsi maklumat, blog ini juga menjadi medan latihan bagi saya mengasah kemahiran menterjemah.

Sebarang komen untuk memperbetul mahupun memperbaiki lagi mutu terjemahan amatlah dialu-alukan. Selamat membaca
.

:: UNTUK MELIHAT TEKS SUMBER, KLIK PADA TAJUK ENTRI ::

09 Januari 2009

Keranda Tanpa Jenazah di Gaza

Oleh Ola Atallah, wartawan IOL.


GAZA CITY – Ini pengebumian anak lelakinya. Demikianlah yang diberitahu kepada Fayez Al-Sayed.

Tetapi bapa mangsa dari Gaza itu masih tergamam dan tidak dapat menerima hakikat tersebut.

“Saya tidak nampak pun jasadnya,” teriak si bapa yang dilanda hiba itu.

Anak lelakinya, Shadi, dilaporkan terbunuh sewaktu serangan hari pertama tentera Israel ke atas Genting Gaza yang terkepung itu, iaitu kawasan yang paling padat penduduknya di dunia.

Gempuran hebat yang sudah masuk hari kelapan Sabtu lalu, 3 Januari, terdiri daripada lebih 750 serangan yang telah membunuh lebih 435 penduduk Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 75 kanak-kanak dan 21 wanita.

Serangan ini – salah satu penggempuran Israel ke atas Gaza yang paling dahsyat – telah mengakibatkan lebih 2,285 orang tercedera.

Bedilan daripada pesawat perang dan kapal tentera laut telah meranapkan bangunan-bangunan kerajaan, rumah-rumah, sekolah, hospital dan masjid. Akibatnya, ramai telah terperangkap di bawah runtuhan-runtuhan ataupun sudah berkecai dalam letupan.

“Mereka kata serangan udara telah memusnahkan tempat kerjanya. Tetapi mereka tidak menemui mayatnya,” kata Al-Sayed. Beliau masih menunggu-nunggu sesuatu bukti yang dapat mengesahkan kematian anaknya, sesuatu yang boleh disemadikan dan bukan sekadar mengebumikan keranda kosong sahaja.

“Saya cuma ingin melihat secebis kulit ataupun serpihan tulang. Saya perlu melihatnya dengan mata kepala saya sendiri yang anak saya betul-betul sudah tiada.

“Menghadiri pengebumian anak sendiri pun sudahlah cukup pedih, tetapi yang lebih memilukan lagi ialah untuk menerima hakikat bahawa anak kita telah terkorban walaupun mayatnya tidak ditemui."

Adel Atea masih tercari-cari barang apa jua kesan peninggalan abangnya di runtuhan bangunan-bangunan yang telah dibedil bom itu. Dia berasa kecewa dan marah.

“Hak kami untuk meratapi mereka yang terkorban pun mahu dirampas Israel.”

“Sungguh tidak adil kami kehilangan orang yang dikasihi dengan cara begini.”

Keranda Kosong

Keluarga Abdel-‘Al juga sedang melalui dugaan yang sama.

Anak lelaki mereka, Aamer, dilaporkan telah terbunuh dalam serangan tentera Israel.

Orang ramai memberitahu ibu bapanya yang sedang berdukacita itu bahawa kad pengenalan anak mereka telah ditemui di bangunan tempat kerjanya yang kini sudah menjadi runtuhan batu.

“Dia sudah mati? Di mana mayatnya?” tanya ibu Aamer dalam sedu-sedan.

Beliau enggan mengadakan pengebumian sehinggalah ada sesuatu yang boleh diisemadikan.

“Mana tahu, mungkin dia masih hidup di luar sana.”

Keluarga Mohamed Salim pula tidak dapat menaruh harapan lagi.

Mereka menerima selonggok kecil cebisan kulit dan tulang yang dikhabarkan kepada mereka adalah saki-baki mayat anak lelaki mereka.

Sungguhpun saki-baki jasad mayatnya tidaklah banyak, keluarga itu tetap mengadakan upacara pengebumian dan mengusung keranda yang hampir tidak berisi itu ke tanah perkuburan.

Nasib yang sama turut menimpa keluarga Amgad Hamid.

Mereka menerima anggota badan yang terpisah daripada jasad anak lelaki mereka yang telah hancur di bawah runtuhan sebuah lagi bangunan yang dibedil Israel.

“Itu sahaja saki-baki mayatnya yang tinggal,” ujar si ibu yang sedang berdukacita.

“Sungguh kejam. Anak lelaki saya, permata hati saya, sudah tiada lagi dan saya tidak dapat pun mengucapkan salam perpisahan kepadanya. Saya tidak dapat memberinya kucupan terakhir.”




Ramai rakyat Palestin tertimbus di bawah runtuhan bangunan-bangunan yang dibedil oleh Israel. (Reuters)






:: :: :: :: ::

U : Dari Allah kita datang dan kepada Allah jua kita kembali.
Semoga mereka yang terkorban ditempatkan Allah bersama golongan Abrar. Amin.
Ya Allah, selamatkanlah saudara-saudara kami di Palestin. Turunkanlah bantuanmu kepada mereka. Tiada daya dan kuasa melainkan dengan daya dan kuasa mu, ya Allah, yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Engkaulah Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.
Amin.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Marilah kita sama-sama berusaha meringankan sedikit beban saudara-saudara kita di sana dengan menghulurkan sumbangan kepada badan-badan amal seperti Islamic Relief Malaysia, MERCY Malaysia mahupun tabung-tabung khas yang diadakan untuk membantu mangsa-mangsa serangan di Gaza. Semoga Allah permudahkan usaha para sukarelawan menyalurkan bantuan-bantuan tersebut.



0 comments:

Catat Ulasan | Feed



 
^

Powered by BloggerOMNI-TERJEMAHAN by UsuárioCompulsivo
original Washed Denim by Darren Delaye
Creative Commons License