Selain untuk berkongsi maklumat, blog ini juga menjadi medan latihan bagi saya mengasah kemahiran menterjemah.

Sebarang komen untuk memperbetul mahupun memperbaiki lagi mutu terjemahan amatlah dialu-alukan. Selamat membaca
.

:: UNTUK MELIHAT TEKS SUMBER, KLIK PADA TAJUK ENTRI ::

09 Januari 2009

Hidup Di Bawah Ancaman Serangan Israel

oleh Ola Attallah, wartawan IOL



GAZA CITY– “Tiada seorang pun yang berani keluar rumah,” ujar seorang ibu Palestin yang menderita di Genting Gaza yang dilanda serangan bom.

Kehidupan Abu Anas Al-Banna, isterinya dan 10 anak mereka terbatas pada ruang di dalam rumah kecil mereka di Gaza City.

Mereka terkurung di dalam rumah sendiri, sama seperti keluarga-keluarga lain di Gaza.

Anak-anak tidak lagi ke sekolah, dan si bapa pula tidak lagi pergi ke tempat kerja mahupun bersembahyang di masjid.

Mereka bimbang akan menjadi korban tentera Israel yang menggempur kawasan melarat di sempadan pinggir laut itu semenjak hari Sabtu dan telah meragut lebih 414 nyawa.

Keluarga Al-Banna menempuh masa siang mereka dalam terketar-ketar tatkala bunyi ledakan bom serangan Israel, yang kini masuk hari yang keenam, berdentam-dentum membingitkan telinga.

Ibu bapa yang menderita ini terus menerpa setiap kali anak mereka mendekati tingkap atau berani membuka pintu untuk mengintai ke jalan-jalan yang lengang di luar.

“Kami betul-betul takut,” kata si isteri, sambil memegang erat anak lelakinya, Sami, 3 tahun, yang tidak henti-henti menangis.

“Saya sendiri pun mahu menjerit cemas, tapi saya tidak boleh buat begitu. Saya harus tabah demi anak-anak saya. Kalau tidak, apa akan terjadi kepada mereka.”

Si bapa yang tidak berdaya itu mengumpulkan keluarganya lalu sama-sama mereka memanjatkan doa.

“Jeritan mahupun air mata tidak dapat menyelamatkan kita,” beliau memberitahu mereka.

“Berdoalah. Hanya doa sahaja senjata kita yang tinggal.”


Malam-malam yang menggerunkan

Terbenamnya matahari pun tidak membawa ketenangan dalam hati keluarga Al-Banna.

“Saya berasa betul-betul takut pada waktu malam,” bisik Lina, anak perempuannya yang berusia 14 tahun, dari penjuru katilnya.

Adik lelakinya, Anas, berada di sisinya, terketar-ketar dalam ketakutan, meskipun bedilan bom Israel secara besar-besaran di kawasan perumahan mereka sudah lama berlalu.

“Saya tidak dapat merasai apa-apa lagi. Semua deria saya sudah tiada.”

Dahulu, anak-anak ini tidur di bilik-bilik berasingan. Namun semenjak serangan hebat tentera Israel bermula, bapa mereka memutuskan bahawa seluruh keluarga patut tidur sebilik.

Mereka terpaksa memilih dengan berhati-hati bilik yang paling terlindung daripada sebarang serangan tentera Israel.

“Kami pilih untuk tidur di bilik tingkat bawah yang tidak bertingkap, di penjuru yang hujung sekali,” kata si bapa yang menyimpan alat pertolongan cemas di tempat berdekatan.

Namun begitu, tiada seorang pun ahli keluarganya yang dapat tidur nyenyak semalaman.

Anak-anaknya menutupi muka dan telinga mereka dengan jari untuk mengelak bunyi gegak gempita bedilan serangan tentera Israel.

“Setiap kali, terasa seperti mengucapkan salam perpisahan kepada satu sama lain . Kami tidak tahu sama ada kami akan terus hidup buat sehari lagi.”





Kanak-kanak menjadi mangsa tidak berdosa dalam serangan hebat tentera Israel. (Reuters)




:: :: :: :: ::


U : Selepas dua minggu, kekejaman Israel telah meragut lebih 800 nyawa dan mencederakan lebih 3,000 orang penduduk Palestin. Angka ini sudah barang pasti akan terus meningkat.
Sementara para pemimpin dunia masih terhegeh-hegeh membina sekadar ayat-ayat "tegas tapi diplomatik" dalam resolusi untuk mengecam tindakan rejim Israel itu, marilah kita menggunakan kuasa kita sebagai pengguna untuk menghukum samseng-samseng zionis.
Marilah kita mencari alternatif barangan lain bagi menggantikan barangan keluaran
syarikat-syarikat yang mendukung negara pengganas ini.

4 comments:

Roza berkata...

Subhanallah! Hanya doa sahaja senjata kepada umat Islam.

Umi Azuddin berkata...

Memang benar! Doalah senjata paling utuh bagi seorang Muslim.

Terima kasih Kak Roza kerana sudi menjengah ke sini. :)

azlishukri berkata...

semoga Allah laknatkan mereka.

Hero berkata...

amin x 1000000

tapi dalam pada tu.. masih ada jugak orang islam yg taknak boikot..

mereka ni akan datang dengan macam2 alasan.. walhal yg sebenarnya, mereka sayangkan cara hidup mereka lebih daripada nasib umat islam..

saya ulangi kata2 muhammad azli kat atas tu untuk orang islam yang simpati kepada organisasi pro-zionis..

ps: tuan punya blog.. apa khabar? maaf baru berkesempatan meninggalkan komen.. hari tu lagi dah masuk.. busy sangat sekarang ni..

Catat Ulasan | Feed



 
^

Powered by BloggerOMNI-TERJEMAHAN by UsuárioCompulsivo
original Washed Denim by Darren Delaye
Creative Commons License