Selain untuk berkongsi maklumat, blog ini juga menjadi medan latihan bagi saya mengasah kemahiran menterjemah.

Sebarang komen untuk memperbetul mahupun memperbaiki lagi mutu terjemahan amatlah dialu-alukan. Selamat membaca
.

:: UNTUK MELIHAT TEKS SUMBER, KLIK PADA TAJUK ENTRI ::

23 Januari 2009

Lembu Jantan Yang Bijak

Ada sebuah hutan yang dihuni oleh pelbagai unggas dan haiwan. Pada suatu hari, seekor lembu jantan yang sedang merayau-rayau di hutan itu telah terjumpa sebuah gua. Berhampiran gua itu, terdapat sebuah kolam yang besar dan padang rumput yang hijau dan subur. “Tempat ini memang sesuai untuk aku menetap,” fikir lembu itu. Maka ia pun menjadikan gua itu tempat tinggalnya. Banyak hari telah berlalu, lembu jantan itu bertambah sihat setelah meragut rumput di padang. Sang Lembu berasa bahagia dan tenteram tinggal di gua. Ia dapat ramai kawan di hutan itu.

Pada suatu hari, sang lembu sedang berehat-rehat di luar rumah guanya. Kebetulan pula seekor singa sedang menuju ke arah situ. Girangnya hati sang singa apabila ternampak seekor lembu jantan setelah berjalan begitu lama. “Aha! Lembu jantan! Sihat pula tu,” fikir sang raja rimba, terus terliur suatu hidangan yang lazat. Lembu jantan itu juga nampak akan singa itu. Ia dapat merasakan dirinya dalam bahaya. “Aku harus berjaga-jaga sekarang,” fikir lembu itu dan memutuskan untuk berbuat sesuatu untuk mengelak diri daripada sang singa.

Apabila sang singa menghampiri lembu itu, sang lembu yang bijak menjenguk ke dalam gua lalu berteriak, “Sayang, tak payahlah masak apa-apa untuk makan malam. Saya baru saja ternampak seekor singa. Saya sedang menunggu ia datang dekat ke mari.” Apabila singa itu terdengar kata-kata sang lembu, ia pun terus berpatah balik seraya berlari menyelamatkan dirinya.

Seekor serigala telah ternampak singa itu tercungap-cungap berlari. “Mengapa awak berlari, Tuan Singa?” tanya sang serigala. Singa itu menceritakan apa yang telah berlaku. “Lembu jantan itu telah membodohkan tuan,” balas serigala itu. Sang serigala menambah lagi, “Mari ikut saya. Bolehlah kita sama-sama menjamu selera dengan daging lembu itu.” Tetapi sang singa terlalu gementar untuk mempercayai serigala itu.

Sang serigala faham mengapa singa itu teragak-agak untuk mengikutnya. “Baiklah! Ikatkan ekor tuan pada ekor saya dan biar saya yang pimpin tuan ke gua lembu itu. Kalaulah lembu itu menyondol, sayalah yang akan terkena dahulu,” kata sang serigala.

Sang singa bersetuju dengan rancangan serigala itu. Kemudian, singa dan serigala itu mengikat sekali ekor masing-masing. Kedua-duanya pun mula berangkat ke gua lembu jantan itu.

Sang Singa dan Sang Serigala berjalan menghampiri gua kediaman lembu itu. Apabila sang lembu melihat singa itu datang bersama serigala, ia terfikir, “Pastinya serigala yang licik itu tahu aku telah memperdayakan singa itu. Tanpa rasa cemas, sang lembu berteriak kepada serigala itu, “Kankah aku suruh engkau bawa balik dua ekor singa. Engkau hendak aku biarkan anak-anak aku kelaparan?”

Kali ini pun singa itu masih tidak sedar yang sang lembu sedang mengakalinya sekali lagi. Ia mula naik gerun. Ia terus berlari sekuat tenaga lantas menyeret serigala itu sekali mengharung batu-batu, onak dan duri. Lembu jantan yang bijak itu telah mengakali musuh-musuhnya dan berjaya menyelamatkan diri.

Singa dan serigala itu tidak lagi pergi ke sana. Selepas itu sang lembu dapat hidup dengan aman dan bahagia bersama isteri dan anak-anaknya.


:: :: :: :: ::

U : Khusus buat kaum Cina di Malaysia, diucapkan GONG XI FA CAI. Selamat Menyambut Tahun Baru Lembu :)




0 comments:

Catat Ulasan | Feed



 
^

Powered by BloggerOMNI-TERJEMAHAN by UsuárioCompulsivo
original Washed Denim by Darren Delaye
Creative Commons License