Selain untuk berkongsi maklumat, blog ini juga menjadi medan latihan bagi saya mengasah kemahiran menterjemah.

Sebarang komen untuk memperbetul mahupun memperbaiki lagi mutu terjemahan amatlah dialu-alukan. Selamat membaca
.

:: UNTUK MELIHAT TEKS SUMBER, KLIK PADA TAJUK ENTRI ::

27 November 2009

Warkah Malcolm X dari Makkah

KEMBARA HAJI KE MAKKAH

Ketika beliau berada di Makkah, Al-Hajj Malik El-Shabazz telah menulis sepucuk surat kepada para pembantunya yang setia di Harlem… meluahkan isi hatinya:


“Belum pernah saya menyaksikan layanan mesra penuh keikhlasan dan semangat persaudaraan yang begitu teguh sebagaimana yang diamalkan oleh insan-insan yang terdiri daripada pelbagai warna kulit serta bangsa di kota suci purba ini, bumi Ibrahim, bumi Muhammad serta para anbiya dalam Kitab-kitab suci. Dalam masa seminggu yang telah berlalu, saya benar-benar terkelu lagi terpesona dengan budi pekerti yang dipamerkan oleh manusia daripada pelbagai warna kulit di sekeliling saya."

“Saya dikurniai Ilahi kesempatan untuk menziarahi Kota Suci Makkah, saya sudah mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah, dibawa oleh seorang mutawif muda bernama Muhammad, saya telah meminum air dari telaga Zam Zam. Saya telah berlari berulang-alik sebanyak tujuh kali di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah. Saya bersolat di kota purba Mina, dan saya turut berdoa di bukit Arafah.”


"Amerika perlu memahami Islam, kerana inilah satu-satunya agama yang memadamkan masalah perkauman dalam masyarakat. Sepanjang pengembaraan saya ke dunia Islam, saya telah bertemu, berbicara, malah pernah makan bersama-sama orang yang, jika di Amerika, akan dianggap sebagai berkulit putih – tetapi sikap kulit putih telah tersingkir daripada pemikiran mereka oleh agama Islam. Saya belum pernah lagi melihat persaudaraan yang begitu tulus ikhlas sepertimana yang diamalkan bersama-sama oleh sekumpulan manusia yang beraneka warna kulit ini, tanpa mengira warna kulit mereka.”

“Kamu mungkin terkejut kata-kata sebegini terluah daripada orang seperti saya. Tetapi dalam kembara haji saya ini, apa yang telah saya lihat dan alami telah memaksa diri ini untuk menyusun semula pola pemikiran yang dianuti sebelumnya, dan mengetepikan beberapa kesimpulan yang pernah saya putuskan sebelum ini. Ini tidaklah begitu sukar pun bagi saya. Sungguhpun saya ini berpendirian tegas, saya juga seorang yang sentiasa bersedia menghadapi kenyataan serta menerima hakikat kehidupan sebagai pengalaman baru dan pengetahuan baru yang menguraikannya. Saya sentiasa berfikiran terbuka, yakni suatu sikap yang diperlukan dalam usaha penyesuaian yang harus seiringan dengan segala bentuk ikhtiar berilmu demi mencari kebenaran.”

"Semasa saya berada di dunia Islam ini sejak sebelas hari yang lalu, saya telah makan dari pinggan yang sama, minum dari gelas yang sama, dan tidur di atas hamparan yang sama – di samping beribadat kepada Tuhan yang sama - dengan saudara seIslam yang lain, yang matanya berwarna sebiru-birunya, dengan rambut berwarna seperang-perangnya, dan berkulit seputih-putihnya. Saya merasakan keikhlasan dalam kata-kata serta perbuatan golongan Muslim berkulit putih ini sebagaimana yang dapat saya rasakannya daripada kalangan Muslim berkulit hitam Afrika yang datang dari Nigeria, Sudan dan Ghana."

“Kami semua benar-benar bersaudara – kerana kepercayaan mereka kepada Tuhan yang Satu telah melenyapkan status “kulit putih” daripada pemikiran mereka, kelakuan mereka mahupun sikap mereka.”

“Dalam hal ini, saya dapat melihat bahawa sekiranya warga kulit putih Amerika dapat menerima Tuhan yang Satu, maka, barangkali, mereka juga dapat menerima hakikat bahawasanya Manusia itu juga Satu – dan tidak lagi bertimbang-timbang, menghalang serta menyakiti golongan lain berdasarkan perbezaan warna kulit mereka.”

"Dengan masalah perkauman yang melanda Amerika seperti barah yang tidak boleh diubati, hati kaum kulit putih Amerika yang kononnya menganuti agama 'Kristian' sepatutnya lebih terbuka kepada suatu penyelesaian yang terbukti berkesan bagi masalah yang membinasakan ini. Mungkin inilah masanya untuk menyelamatkan Amerika yang sedang berada di ambang kebinasaan – bencana serupa yang telah menimpa Negara Jerman akibat perkauman yang akhirnya membinasakan rakyat Jerman itu sendiri.”

"Setiap saat ketika berada di Tanah Suci ini telah memberikan saya suatu pengertian kerohanian yang mendalam tentang apa yang sedang berlaku di Amerika antara kaum kulit hitam dan kulit putih. Orang Negro Amerika tidaklah boleh dipersalahkan atas rasa dendamnya yang bersifat perkauman – itu hanya tindak balasnya terhadap sikap perkauman yang sengaja diamalkan oleh kaum kulit putih Amerika sejak empat ratus tahun yang lampau. Tetapi tatkala sifat perkauman menjuruskan Amerika ke arah kebinasaan, saya percaya, daripada pengalaman saya bersama mereka, generasi muda kaum kulit putih yang berada di maktab-maktab dan universiti, akan dapat melihat tanda-tanda yang memang sudah jelas dan lantas ramai yang akan berpaling ke arah laluan spiritual kebenaran – satu-satunya jalan bagi Amerika demi menangkis kemusnahan yang bakal berlaku akibat daripada bara perkauman.”

"Tidak pernah saya diberi penghormatan yang sebegini tinggi. Belum pernah saya berasa begitu rendah hati lagi terharu . Siapa akan percaya kurniaan rahmat yang telah dilimpahkan kepada seorang yang berbangsa Negro dari Amerika? Beberapa malam yang lalu, seorang lelaki yang akan digelar sebagai ‘orang putih’ di Amerika, seorang diplomat Bangsa-bangsa Bersatu, seorang duta, pengiring kerabat diraja, telah memberikan saya bilik hotelnya, katilnya. Tidak pernah saya termimpikan untuk menerima suatu penghormatan yang sedemikian rupa - penghormatan yang di Amerika hanya dikurniakan kepada seorang Raja - bukan seorang Negro."

“Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan sekelian alam”.




Yang ikhlas,

Al-Hajj Malik El-Shabazz (Malcolm X)


(dipetik dari buku AUTOBIOGRAPHY OF MALCOLM X dengan bantuan Alex Haley, penulis buku ROOTS)

sumber foto


:: :: :: :: ::



U : Semoga para jemaah Haji memperoleh Haji yang mabrur. Kepada kaum Muslim yang lain diucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha dan selamat mengerjakan ibadah qurban. Semoga ibadah kita diterima Allah dan persaudaraan kita bertambah teguh di bawah panji Islam.

0 comments:

Catat Ulasan | Feed



 
^

Powered by BloggerOMNI-TERJEMAHAN by UsuárioCompulsivo
original Washed Denim by Darren Delaye
Creative Commons License