Selain untuk berkongsi maklumat, blog ini juga menjadi medan latihan bagi saya mengasah kemahiran menterjemah.

Sebarang komen untuk memperbetul mahupun memperbaiki lagi mutu terjemahan amatlah dialu-alukan. Selamat membaca
.

:: UNTUK MELIHAT TEKS SUMBER, KLIK PADA TAJUK ENTRI ::

18 Disember 2009

10 Perkara Yang Boleh Anda Lakukan Untuk Membantu Menyelamatkan Bumi


Amalan hijau sebenarnya lebih mudah daripada yang disangka. Ada beberapa perkara kecil yang boleh anda lakukan setiap hari untuk membantu mengurangkan gas-gas rumah hijau dan meredakan kesan berbahaya terhadap alam sekitar. Tugas menjaga bumi ini bukan sahaja suatu tanggungjawab – ia suatu penghormatan. Dengan semangat itulah HowStuffWorks telah memikirkan 10 perkara yang boleh anda lakukan untuk menyelamatkan Bumi ini.


1. Perhatikan amalan penggunaan air anda. Perkara-perkara kecil boleh menghasilkan suatu perubahan yang besar. Setiap kali anda menutup paip air semasa sedang memberus gigi, anda melakukan sesuatu yang baik. Tandas anda bocor? Anda mungkin membazir sebanyak 200 gelen air sehari! Cubalah minum air masak sendiri daripada membeli air botol, supaya anda tidak terlibat dalam pembaziran penggunaan botol minuman.

2. Tinggalkan kereta anda di rumah. Jika anda dapat mengelak daripada menggunakan jalanraya selama dua hari sahaja dalam seminggu, anda akan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau secara purata sebanyak 1,590 paun setahun. Gabungkan urusan tugasan anda – pergi ke pejabat pos, kedai runcit dan kedai membaiki kasut dalam satu trip. Ini akan menjimatkan minyak dan juga masa anda.

3. Berjalan kaki ataupun menunggang basikal ke tempat kerja, sekolah dan ke mana saja yang boleh. Anda boleh mengurangkan gas-gas rumah hijau sambil membakar kalori serta meningkatkan tahap kesihatan anda. Jikalau anda tidak dapat berjalan kaki ataupun menunggang basikal, gunalah pengangkutan awam ataupun berkongsi kereta (carpool). Setiap kereta yang berkurangan di jalan raya boleh membawa perubahan yang besar.

4. Kitar semula. Anda boleh membantu mengurangkan pencemaran hanya dengan membuang tin soda itu ke dalam tong sampah berasingan. Jika anda hendak memilih antara dua produk, pilihlah produk yang paling minima pembungkusannya. Seandainya sebuah bangunan pejabat yang mempunyai 7,000 pekerja mengitar semula semua kertas buangan pejabat selama setahun, itu bersamaan dengan menegah hampir 400 kereta daripada menggunakan jalan raya.

5. Mengompos (Jadikan baja). Fikirkan berapa banyak sampah yang anda kumpul dalam setahun. Mengurangkan jumlah sisa pejal yang anda hasilkan dalam setahun bermakna berkuranglah ruang yang digunakan di kawasan penimbusan sampah. Jadi wang cukai anda boleh dimanfaatkan di tempat lain. Tambahan pula, kompos adalah baja asli yang cukup baik. Membuat baja adalah lebih mudah daripada yang anda sangkakan.

6. Tukar bal lampu anda. Bal lampu pendaflour padat atau compact fluorescent light bulbs (CFL) tahan 10 kali lebih lama daripada bal biasa dan menggunakan kurang daripada dua pertiga jumlah tenaga.

7. Jadikan rumah anda lebih efisien tenaga (dan menjimatkan wang). Bersihkan penuras udara anda supaya sistem pengudaraan anda tidak perlu bekerja lebih masa. Apabila hendak tidur, perlahankan penyaman udara – anda tidak akan perasan pun perbezaan beberapa darjah kedinginan semasa anda tidur.

8. Selenggara kereta anda. Tayar yang kurang angin akan mengurangkan ekonomi bahan api sehingga tiga peratus dan menyebabkan bertambahnya pencemaran dan meningkatnya pengeluaran gas rumah hijau. Tayar yang kurang angin juga menyebabkan ia cepat haus, jadi anda dapat menjimatkan wang anda dalam jangka masa panjang jika anda rajin memeriksa tekanan tayar anda.

9. Memandu dengan bijak. Pandulah dengan perlahan – memandu 60 batu sejam dan bukan 70 batu sejam di lebuhraya, anda akan jimat 4 batu bagi setiap gelen. Memecut dan membrek terlalu kuat sebenarnya akan mengurangkan ekonomi bahan api anda, jadi berpada-padalah apabila menekan brek dan pedal minyak.

10. Padamkan lampu apabila anda tidak berada di dalam bilik dan cabutkan palam alat elektrik apabila anda tidak menggunakannya. Satu saat pun cukup untuk menjadi prihatin terhadap alam sekitar.




Mengompos



:: :: :: :: ::



U : Tahun makin bertambah, Bumi makin dimamah usia. Marilah kita sama-sama memasang niat dan iltizam untuk menjadi insan yang lebih bertakwa terhadap Pencipta dan lebih bertanggungjawab terhadap hubungan sesama makhluk yakni alam sekitar. Selamat tahun baru 1431 Hijrah / 2010 Masihi.

0 comments:

Catat Ulasan | Feed



 
^

Powered by BloggerOMNI-TERJEMAHAN by UsuárioCompulsivo
original Washed Denim by Darren Delaye
Creative Commons License