Selain untuk berkongsi maklumat, blog ini juga menjadi medan latihan bagi saya mengasah kemahiran menterjemah.

Sebarang komen untuk memperbetul mahupun memperbaiki lagi mutu terjemahan amatlah dialu-alukan. Selamat membaca
.

:: UNTUK MELIHAT TEKS SUMBER, KLIK PADA TAJUK ENTRI ::

26 Disember 2008

Tidur Sekejap Mungkin Boleh Merangsangkan Daya Ingatan

Oleh Dave Mosher, Penulis Tetap LiveScience.
Jika anda ingin mengingati maklumat di dalam artikel ini, tidurlah sekejap.
Satu penyelidikan baru yang dikendalikan oleh penyelidik otak, Avi Karni dari Universiti Haifa di Israel, meneroka kemungkinan bahawasanya tidur sekejap dapat membantu menyematkan memori jangka panjang yang ada kalanya dapat bertahan seketika sahaja. Tidur siang selama 90 minit mungkin yang paling berkesan, menurut dapatan kajian tersebut.
“Kami masih tidak tahu apakah mekanisme sebenar dalam proses daya ingatan yang berlaku sewaktu tidur, tetapi hasil penyelidikan ini mencadangkan kemungkinan bahawasanya pengukuhan daya ingatan boleh dipercepatkan,” kata Karni. “Pada masa akan datang, kita mungkin dapat melakukannya secara tiruan.”
Memori jangka panjang merujuk kepada memori yang tersimpan dalam diri kita selama bertahun-tahun, misalnya memori “apa” – kemalangan kereta yang berlaku semalam – ataupun memori “bagaimana cara”, misalnya kemahiran yang dipelajari seperti bermain dram ataupun gelecek bola dalam permainan bola sepak.
Karni, yang menjadi pengarang bersama kajian tersebut di dalam jurnal Nature Neuroscience terbitan terbaru, memberi arahan kepada para peserta untuk mempelajari suatu urutan ketukan ibu jari yang kompleks. Kemudian subjek kajian telah dipecahkan kepada dua kumpulan : satu kumpulan tidur selama sejam dan yang satu lagi tidak tidur. Ahli-ahli kumpulan yang tidur petang mempamerkan peningkatan yang agak besar dalam persembahan mereka menjelang malam itu.
“Selepas tidur semalaman, kedua-dua kumpulan tersebut berada pada tahap yang sama. Namun begitu, prestasi kumpulan yang telah tidur petang meningkat lebih cepat daripada kumpulan yang berjaga,” kata Karni.
Peringkat tambahan kajian tersebut telah menunjukkan betapa pantasnya tidur selama 90 minit dapat membantu menyematkan memori jangka panjang.
“Tidur siang boleh menyingkatkan masa yang diambil oleh memori ”bagaimana cara” untuk menjadi lali terhadap gangguan dan kelupaan,” ujar Karni. “Daripada mengambil masa 6 hingga 8 jam, otak dapat mengukuhkan daya ingatan dalam masa 90 minit waktu tidur.”


:: :: :: :: ::


U : sekarang saya dapat satu lagi alasan yang baik untuk melelapkan mata "sekejap" ;-}

8 comments:

alamceritera.blogspot.com berkata...

Jadi tak salahlah jika kita tidur sekejap, ya tak? Bolehkah '40 winks' itu disamakan dengan tidur selama 90 minit? Apa pendapat puan empunya blog?

UmiAzuddin berkata...

Hahaha....itu dah jadi kes sebaliknya, cik puan!

Hmmm....tapikan...

'40 winks' boleh dijadikan alasan yang diberikan kanak-kanak kepada ibu bapa/pengasuh apabila mereka tak mahu tidur petang kerana ingin terus-terusan bermain...hehe, bijak, bijak... :D

kak yah(cute penguin) berkata...

untuk mengelakkan dari dimarahi umi kerana tidur pada waktu petang, saya akan suruh umi membaca artikel ini!:p jadi tidak salahlah jika saya tidur dan tidak mengemas rumah pada waktu petang he...he... :D

cute penguin berkata...

tak tahu antara artikel ini susah difahami atau saya yang lambat pick up.

UmiAzuddin berkata...

Cute penguin,
Saya rasa alasan saudari untuk tidur demi mengukuhkan daya ingatan lebih sesuai digunakan selepas menelaah pelajaran, bukan untuk mengelak daripada mengemas rumah...hehe ;}

Terima kasih atas komen saudari. Akan saya cuba memperbaiki lagi terjemahan saya pada masa akan datang untuk memudahkan pemahaman.

cute penguin berkata...

BAIKLAH CIK PUAN. terima kasih atas nasihat itu.

Naim Jalil berkata...

Saya cuba juga translate artikel ini di blog saya (harap tak marah), tapi ada sepatah dua pemilihan kata yang saya guna terasa janggal. Patutlah orang kata, dua kepala lebih baik dari satu...

UmiAzuddin berkata...

Silakan, silakan. Saya alu-alukan usaha tuan itu. Malah selepas membaca terjemahan tuan, barulah lebih terasa kejanggalan terjemahan saya ini...heh. Ouch!

Catat Ulasan | Feed



 
^

Powered by BloggerOMNI-TERJEMAHAN by UsuárioCompulsivo
original Washed Denim by Darren Delaye
Creative Commons License