Selain untuk berkongsi maklumat, blog ini juga menjadi medan latihan bagi saya mengasah kemahiran menterjemah.

Sebarang komen untuk memperbetul mahupun memperbaiki lagi mutu terjemahan amatlah dialu-alukan. Selamat membaca
.

:: UNTUK MELIHAT TEKS SUMBER, KLIK PADA TAJUK ENTRI ::

16 Mei 2010

Kisah Seorang Guru

Ada sebuah kisah bertahun yang lalu tentang seorang guru sekolah rendah. Namanya Puan Thompson. Sewaktu berdiri di hadapan kelas darjah 5 pada hari pertama persekolahan, beliau telah berbohong kepada anak-anak muridnya. Seperti kebanyakan guru, beliau memandang anak-anak muridnya dan menyatakan yang beliau menyayangi kesemua mereka sama sahaja. Tetapi mana mungkin begitu, kerana di barisan hadapan, duduk seorang budak kecil, membongkok lesu di meja. Teddy namanya.

Puan Thompson pernah memerhatikan Teddy setahun yang lalu dan beliau perasan yang budak itu tidak begitu mesra dengan kanak-kanak lain, pakaiannya comot dan dia jarang sekali mandi. Perangai Teddy juga tidaklah begitu menyenangkan hati, sampai ke suatu tahap hinggakan Puan Thompson sendiri berasa suka pula menandakan kertas Teddy dengan pangkah 'X' yang tebal, menggunakan pen merah mata lebar, kemudian meletakkan 'F' besar-besar di bahagian atas kertasnya.

Di sekolah Pn. Thompson mengajar, guru kelas dikehendaki meninjau rekod-rekod lampau setiap murid dan Pn. Thopmson bertangguh-tangguh melihat rekod Teddy sehinggalah sampai ke penghabisan. Biarpun demikian, apabila ditelitinya fail Teddy, apa yang tertulis amatlah mengejutkan beliau.

Guru darjah satu Teddy menulis, "Teddy seorang budak cerdik dan selalu ketawa. Dia melakukan kerja sekolahnya dengan kemas dan berkelakuan baik... dia seorang yang peramah."

Guru darjah duanya menulis, "Teddy seorang pelajar cemerlang, disukai rakan-rakan sekelasnya, tetapi dia sedang berdukacita kerana ibunya menghidap penyakit yang boleh membawa maut dan kehidupan di rumah pastinya perit".

Guru darjah tiganya menulis, "Kematian ibunya meninggalkan kesan yang pahit dalam hidupnya. Dia cuba melakukan yang terbaik tetapi bapanya tidak begitu mengambil endah. Kehidupannya di rumah bakal terjejas sekiranya beberapa langkah tidak diambil."

Guru darjah empat Teddy menulis, "Teddy suka menyisihkan diri dan tidak menunjukkan minat di sekolah. Dia tidak mempunyai ramai kawan dan kadangkala tertidur di dalam kelas."

Sekarang, barulah Puan Thompson menyedari akan masalahnya lantas termalu sendiri. Beliau berasa makin bersalah apabila anak-anak muridnya membawa hadiah untuknya berbalutkan kertas berwarna ceria dengan lilitan reben serba indah, kecuali Teddy. H
adiah daripada Teddy dibungkus dengan kertas perang tebal yang dikoyak daripada beg kertas barang runcit. Puan Thompson bersusah payah membuka hadiah tersebut di tengah-tengah hadiah yang lain. Beberapa orang budak mula ketawa apabila melihat seutas gelang tangan berlian tiruan yang telah hilang beberapa butir batunya dan sebotol minyak wangi yang suku penuh. Tawa mereka terhenti apabila Puan Thompson mengatakan betapa cantiknya gelang tersebut langsung memakainya dan membubuh sedikit minyak wangi itu pada pergelangan tangannya.

Teddy menunggu sekejap selepas sekolah pada hari itu dan sempat melafazkan, "Cikgu, hari ini cikgu berbau harum seperti mak saya dahulu."

Setelah semua kanak-kanak beredar pulang, Puan Thompson menangis sehingga lebih sejam lamanya.

Pada hari itu juga, Puan Thompson berhenti mengajar membaca, menulis dan mengira. Sebaliknya, beliau mulai mendidik anak-anak muridnya.

Puan Thompson memberi perhatian khusus kepada Teddy. Ketika beliau membimbing Teddy, mindanya seakan bercambah. Semakin kuat dorongan Puan Thompson, semakin pantas respons Teddy. Menjelang akhir tahun, Teddy telah menjadi antara murid paling pintar dalam kelas dan, sungguhpun Puan Thompson pernah mengatakan bahawa beliau menyayangi semua anak muridnya sama sahaja, namun Teddy telah menjadi salah seorang murid yang paling disayanginya.

Setahun kemudian, beliau menemui sekeping nota di bawah pintu, daripada Teddy, menyatakan yang beliau tetap guru terbaik yang pernah mengajarnya selama hidupnya.

Enam tahun berlalu sebelum Puan Thompson menerima sekeping lagi nota daripada Teddy. Pada waktu itu, Teddy menulis memberitahu yang dia telah tamat sekolah tinggi, mendapat tempat kedua dalam kelasnya, dan Puan Thompson tetap guru terbaik yang pernah dia kenali sepanjang hidupnya.

Empat tahun selepas itu, Puan Thompson menerima supucuk surat. Isi kandungan surat itu menceritakan bahawa meskipun adakalanya terpaksa menghadapi kesukaran, namun Teddy nekad meneruskan pengajiannya dan tidak lama lagi bakal menerima ijazah dengan kepujian tertinggi. Teddy meyakinkan Puan Thompson bahawa beliau tetap merupakan guru yang terbaik baginya dan paling disayangi sepanjang hidupnya.

Empat tahun kemudian, sepucuk lagi surat diterima. Kali ini, Teddy menjelaskan bahawa setelah menerima ijazah sarjana muda, dia telah mengambil keputusan untuk memajukan lagi diri. Surat itu juga menegaskan bahawa Puan Thompson masih yang terbaik dan guru kesayangannya. Tetapi sekarang nama Teddy telah menjadi panjang sedikit. Surat itu bertandatangan, Theodore F. Stollard, M.D.

Ceritanya tidak berakhir di situ.

Sebenarnya ada sepucuk lagi surat yang tiba pada musim bunga tahun itu. Teddy memberitahu yang dia telah berkenalan dengan seorang gadis dan bakal mengahwininya. Dia juga menjelaskan yang bapanya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu dan dia ingin bertanya kiranya Puan Thompson sudi menghadiri majlis pernikahannya dan duduk di tempat yang biasanya dikhaskan untuk ibu pengantin lelaki.

Sudah tentulah Puan Thompson bersetuju. Beliau berhias diri dengan barang kemas yang paling berharga buat dirinya, seutas gelang rantai yang sudah hilang beberapa butir batunya itu. Puan Thompson juga memastikan yang beliau memakai minyak wangi yang pernah dipakai oleh ibu Teddy pada hari raya terakhir yang mereka sambut bersama.

Mereka berpelukan dan Teddy berbisik di telinga Puan Thompson, "Terima kasih, cikgu, kerana meyakini diri saya. Terima kasih banyak kerana membuat saya berasa dihargai dan menunjukkan kepada saya yang saya sendiri berupaya melakukan perubahan."

Dengan air mata yang bergenang, Puan Thompson berbisik kembali. Katanya, "Teddy, kamu tersilap. Sebenarnya kamulah yang telah mengajar cikgu bahawa cikgu boleh melakukan perubahan. Cikgu tidak menjadi guru yang sebenar sehinggalah cikgu bertemu dengan kamu."



:: :: :: :: ::


- Terima kasih tidak terhingga kepada semua guru yang pernah mendidik saya, terutama sekali kepada Puan Loh (Darjah 1 Biru), Cik Neo (Darjah 2 Samar), Puan Doss (Darjah 3 Samar), Puan Ang (Darjah 4 Samar), Puan Chan (Darjah 5 Samar), Puan Ramadas (Darjah 6 Samar) dan Ustazah Normah (Darjah 1 - 6), SRK Convent Lebuh Light, Pulau Pinang. Jasamu akan tetap ku kenang. Selamat Hari Guru juga kepada rakan-rakan blogger: Cikgu Norhaliza, Cikgu Zazas, Cikgu Ros, Cikgu Mas, Cikgu Zainab, Cikgu Ibrahim, Cikgu Shaari, Cikgu Norkiah, Cikgu Murni dan semua insan yang mengajar kita erti kehidupan.

8 comments:

rezeki berkata...

salam kak chik

ni cite benar ke atau cerpen yang dialih bahasa oleh kak chik hehe

opppppsssss kak chik geng dgn ibrahim pendek ye, main buah dadu heheheheheh

"mari kita tgk, siapa yg kena " hehehe

Umi Azuddin berkata...

Salaam Pak Itam,

cerpen yang terlebih pendek ... sebab belum habis diterjemah...heheh

yeeaahh mari kita tengok .... kalau terjemahan tak kena, kak chiq ler yang KENA! ..heheh

VpeaceV

naziramin berkata...

Salam Kak Chiq..

jumpa jugak blog ni..

Umi Azuddin berkata...

Salaam Nazir,

Terima kasih kerana sudi singgah ke sini....hehe, tula... kak chiq pun baru teringat nak letak url di ruangan komen naziramin blog...hehe.. kalau tidak, menyelam sampai ke dasar Mariana Trench pun takkan jumpa blog ni...ekeke... ;}

Terima kasih kerana sudi follow. 'Timbul-timbul' la ke sini lagi yer... =)

VpeaceV

kak su berkata...

Salam Umi

Menyambung kembali perkenalan kita di 7 Habit course tuu...

Apa khabar??? Doa akak Umi sihat disamping ayah dan bonda ya...

Menarik cerita di atas tuu...harap semua guru terkesanlah hendaknya dengan kisah tuu ya...

Wslm

Umi Azuddin berkata...

Salaam Kak Su,

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke sini. Malunya saya, rumah dah bersawang, lama tak update...heheh... sedang sibuk settlekan perkara2 dalam 'Q1'..chewah! haha...

Alhamdulillah saya sihat, kak. Terima kasih atas doa kak su itu. Saya juga turut mendoakan kesejahteraan kak su & keluarga.

Ya, guru memang satu pekerjaan yang mulia. Kesejahteraan mereka sentiasa dalam doa anak2 murid mereka kan..insyaAllah.

Kak su bila nak buat blog? Boleh kita saling kunjung-mengunjung :)

VpeaceV

yongzu @ 9W2YZU berkata...

Salam Ummi,

Bertemu kembali.

Pernah terbaca kisah ini, tapi lupa di mana ya.... Confirmkan nanti ya? :)

Inilah kelebihan kerjaya ini.... ;)

Umi Azuddin berkata...

Salaam Kak Yong,

Selamat datang ke teratak saya..heh

Rasanya kisah ini banyak terpapar dalam laman-laman inspirasi di Internet ... tapi yang saya ambil ini ada saya sertakan pautan sumbernya pada tajuk entri. :)

Yup, once a teacher, always a teacher. Kudos to all you teachers out there! :)

VpeaceV

Catat Ulasan | Feed



 
^

Powered by BloggerOMNI-TERJEMAHAN by UsuárioCompulsivo
original Washed Denim by Darren Delaye
Creative Commons License