Selain untuk berkongsi maklumat, blog ini juga menjadi medan latihan bagi saya mengasah kemahiran menterjemah.

Sebarang komen untuk memperbetul mahupun memperbaiki lagi mutu terjemahan amatlah dialu-alukan. Selamat membaca
.

:: UNTUK MELIHAT TEKS SUMBER, KLIK PADA TAJUK ENTRI ::

03 Januari 2010

Sorotan Hari Ini : Bagaimana straw minuman mendapat namanya?

Penyedut minuman pada asalnya merupakan tangkai-tangkai berongga daripada...jerami (bahasa inggeris : straw). Pada tarikh ini, dalam tahun 1888, Marvis C. Stone, yang sudah pun mengusahakan pembuatan kertas pemegang rokok, telah memohon paten bagi satu proses baru untuk membuat penyedut minuman. Beliau menggulungkan kertas bersalut parafin pada sebatang pensel lalu melekatkan hujungnya. Dalam masa dua tahun, produksi straw ini telah mengatasi jumlah pengeluaran pemegang rokok. Penghasilan straw dibuat dengan tangan sehingga tahun 1906, apabila syarikat Stone telah mencipta sebuah mesin untuk melakukan kerja tersebut.


.


:: :: :: :: ::

- Suatu ciptaan yang mudah tetapi membawa perubahan yang besar pada kehidupan kita dan menjadikan seorang usahawan yang inovatif kaya-raya!

02 Januari 2010

Sorotan Hari Ini : Adakah kupu-kupu terbang ke selatan pada musim sejuk?

Kupu-kupu Monarch melakukannya. Monarch adalah satu-satunya jenis kupu-kupu yang melakukan penghijrahan lengkap, menuju ke selatan untuk musim sejuk dan kembali ke utara pada musim bunga. Memandangkan perjalanan pergi balik mengambil masa yang lebih lama daripada jangka hayat seekor kupu-kupu, maka sudah tentulah tiada seekor pun kupu-kupu Monarch ini yang pernah melengkapkan pusingan penghijrahan tersebut. Dalam perjalanan hijrah ini Monarch betina akan bertelur dan generasi berikutnya akan meneruskan penghijrahan. Walaupun ahli lepidoptera atau pakar serangga bersayap telah berpuluh tahun mengkaji penghijrahan ini, bertahun-tahun juga lamanya mereka gagal mengesan tempat kupu-kupu Monarch Amerika Utara ini menghabiskan musim sejuk. Seorang jurutera tekstil dan ahli lepidoptera amatur yang tinggal di Mexico City telah menjumpai habitat musim sejuk bagi kupu-kupu Monarch pada tarikh ini, tiga puluh lima tahun yang lalu, iaitu pada 1975 : kira-kira 10,000 kaki di atas sisi sebuah gunung, beliau telah menjumpai kawanan kupu-kupu yang begitu lebat sehinggakan pokok-pokok di situ kelihatan berwarna jingga dan bukan menghijau.





Kawanan kupu-kupu Monarch menghampari padang rumput di atas sebuah gunung sambil mencari makan pada waktu siang.











Pada waktu malam yang sangat sejuk, kupu-kupu Monarch berkerumun pada pokok fir di atas gunung untuk mendapatkan kehangatan. Sinar matahari pagi akan memanaskan kelompok itu sehingga kawanan kupu-kupu ini bertebaran 'menghamburkan warna jingga' ke seluruh padang rumput untuk mencari makan.







:: :: :: :: ::


U : Indahnya ciptaan Tuhan. Subhanallah!

25 Disember 2009

Sorotan Hari Ini : Berapa jumlah buku yang terdapat di Perpustakaan Kongres?

Dalam kiraan terakhir yang diterbitkan, Perpustakaan Kongres Amerika Syarikat menyimpan lebih 32 juta buku berkatalog dan bahan-bahan cetak lain dalam 470 bahasa, serta lebih daripada 62 juta manuskrip dan koleksi terbesar di dunia bagi bahan-bahan perundangan, filem, peta, lembaran muzik dan rakaman bunyi. Kesemuanya sekali, jumlah koleksi bahan-bahan tersebut mencapai hampir 142 juta item. Perpustakaan Kongres yang menjadi tempat simpanan semua bahan bertulis berhakcipta di Amerika Syarikat telah ditubuhkan di Kapitol AS pada 1800, dengan beberapa ribu buku untuk kegunaan Kongres. Pada Ogos 1814, angkatan tentera British telah menyerang dan membakar bangunan Kapitol lantas memusnahkan sebahagian besar daripada isi perpustakaan tersebut. Thomas Jefferson dengan segera telah menawarkan koleksi beliau sendiri yang mengandungi lebih 6,000 buah buku demi memulakan usaha penubuhan perpustakaan rasmi yang baru. Pada tarikh ini dalam tahun 1851, Perpustakaan tersebut sekali lagi dijilat api yang memusnahkan lebih 35,000 buah buku. Hari ini, perpustakaan yang sentiasa berkembang itu ditempatkan di tiga buah bangunan yang berasingan di Capitol Hill. Ia masih digunakan sebagai sebuah fasiliti penyelidikan bagi Kongres AS, di samping itu ia juga terbuka untuk kegunaan orang awam yang berumur melebihi usia sekolah tinggi.




Dewan Besar Perpustakaan Kongres

24 Disember 2009

Sorotan Hari Ini : Mengapa Van Gogh memotong telinganya?

Vincent Van Gogh sememangnya seorang seniman yang cemerlang tetapi emosinya terganggu. Beliau mengalami kemurungan dan sering diserang epilepsi atau sawan. Tahun yang paling prolifik dan berjaya bagi Van Gogh adalah sewaktu beliau menghabiskan masa di Arles, Perancis; pada Oktober 1888, sahabatnya, yang juga seorang pelukis, Paul Gauguin, menyertai beliau di sana. Walau bagaimanapun, setelah beberapa bulan, kedua-dua mereka mula bertegang leher. Selepas suatu pertengkaran yang sangat sengit, Gauguin terus meninggalkan Arles. Lantas, dalam keadaan marah dan kesal, pada hari ini, dalam tahun 1888, Van Gogh telah memotong hingga putus bahagian bawah telinga kirinya dengan pisau cukur. Meskipun berada dalam penjagaan doktor, tingkah laku Van Gogh yang bergolak itu tidak beransur pulih. Pada Julai 1890, setelah bertengkar dengan salah seorang daripada doktornya, Van Gogh telah menembak dirinya sendiri di dada. Beliau meninggal dunia dua hari kemudian. Van Gogh telah menghasilkan lebih seribu buah lukisan dan lakaran tetapi hanya berjaya menjual satu sahaja semasa hayatnya.


:: :: :: :: ::

U : Dasar manusia, setelah perginya seniman agung, barulah hasil karyanya dihargai...

21 Disember 2009

Sorotan Hari Ini : Adakah radium mempunyai warna?

Radium berwarna hampir putih bersih. Walau bagaimanapun, apabila ia terdedah kepada udara, ia segera mengoksida lalu menjadi hitam. Radium adalah logam bumi beralkali yang paling berat dan merupakan unsur kimia dengan atom yang mempunyai dua elektron di petala paling luar sekali, sepertimana logam bumi beralkali yang lain; keadaan ini menyebabkan logam ini mudah bertindak balas dan membentuk banyak sebatian. Mutu swakilau dalam radium menjadikan ia ideal untuk digunakan dalam cat swakilau bagi jam tangan, permukaan alat, jam dinding dan seumpamanya. Oleh kerana tidak sedar akan bahaya keradioaktifan tinggi unsur itu, ramai pengecat muka jam yang membentuk berus cat mereka dengan meletakkannya di antara bibir, telah meninggal dunia akibat pendedahan berlanjutan kepada radium yang terkandung dalam cat tersebut. Di samping bahayanya, radium juga ada manfaatnya. Hari ini, radium digunakan dalam perubatan untuk merawat sesetengah jenis kanser. Pada tarikh ini dalam tahun 1898, saintis Pierre dan Marie Curie menemui radium dalam picblen yang datangnya dari Republik Czech.



Pasangan Curie sedang bekerja keras di makmal mereka.

:: :: :: :: ::

U : Allah tidak pernah menciptakan segala sesuatu dengan sia-sia.

18 Disember 2009

10 Perkara Yang Boleh Anda Lakukan Untuk Membantu Menyelamatkan Bumi


Amalan hijau sebenarnya lebih mudah daripada yang disangka. Ada beberapa perkara kecil yang boleh anda lakukan setiap hari untuk membantu mengurangkan gas-gas rumah hijau dan meredakan kesan berbahaya terhadap alam sekitar. Tugas menjaga bumi ini bukan sahaja suatu tanggungjawab – ia suatu penghormatan. Dengan semangat itulah HowStuffWorks telah memikirkan 10 perkara yang boleh anda lakukan untuk menyelamatkan Bumi ini.


1. Perhatikan amalan penggunaan air anda. Perkara-perkara kecil boleh menghasilkan suatu perubahan yang besar. Setiap kali anda menutup paip air semasa sedang memberus gigi, anda melakukan sesuatu yang baik. Tandas anda bocor? Anda mungkin membazir sebanyak 200 gelen air sehari! Cubalah minum air masak sendiri daripada membeli air botol, supaya anda tidak terlibat dalam pembaziran penggunaan botol minuman.

2. Tinggalkan kereta anda di rumah. Jika anda dapat mengelak daripada menggunakan jalanraya selama dua hari sahaja dalam seminggu, anda akan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau secara purata sebanyak 1,590 paun setahun. Gabungkan urusan tugasan anda – pergi ke pejabat pos, kedai runcit dan kedai membaiki kasut dalam satu trip. Ini akan menjimatkan minyak dan juga masa anda.

3. Berjalan kaki ataupun menunggang basikal ke tempat kerja, sekolah dan ke mana saja yang boleh. Anda boleh mengurangkan gas-gas rumah hijau sambil membakar kalori serta meningkatkan tahap kesihatan anda. Jikalau anda tidak dapat berjalan kaki ataupun menunggang basikal, gunalah pengangkutan awam ataupun berkongsi kereta (carpool). Setiap kereta yang berkurangan di jalan raya boleh membawa perubahan yang besar.

4. Kitar semula. Anda boleh membantu mengurangkan pencemaran hanya dengan membuang tin soda itu ke dalam tong sampah berasingan. Jika anda hendak memilih antara dua produk, pilihlah produk yang paling minima pembungkusannya. Seandainya sebuah bangunan pejabat yang mempunyai 7,000 pekerja mengitar semula semua kertas buangan pejabat selama setahun, itu bersamaan dengan menegah hampir 400 kereta daripada menggunakan jalan raya.

5. Mengompos (Jadikan baja). Fikirkan berapa banyak sampah yang anda kumpul dalam setahun. Mengurangkan jumlah sisa pejal yang anda hasilkan dalam setahun bermakna berkuranglah ruang yang digunakan di kawasan penimbusan sampah. Jadi wang cukai anda boleh dimanfaatkan di tempat lain. Tambahan pula, kompos adalah baja asli yang cukup baik. Membuat baja adalah lebih mudah daripada yang anda sangkakan.

6. Tukar bal lampu anda. Bal lampu pendaflour padat atau compact fluorescent light bulbs (CFL) tahan 10 kali lebih lama daripada bal biasa dan menggunakan kurang daripada dua pertiga jumlah tenaga.

7. Jadikan rumah anda lebih efisien tenaga (dan menjimatkan wang). Bersihkan penuras udara anda supaya sistem pengudaraan anda tidak perlu bekerja lebih masa. Apabila hendak tidur, perlahankan penyaman udara – anda tidak akan perasan pun perbezaan beberapa darjah kedinginan semasa anda tidur.

8. Selenggara kereta anda. Tayar yang kurang angin akan mengurangkan ekonomi bahan api sehingga tiga peratus dan menyebabkan bertambahnya pencemaran dan meningkatnya pengeluaran gas rumah hijau. Tayar yang kurang angin juga menyebabkan ia cepat haus, jadi anda dapat menjimatkan wang anda dalam jangka masa panjang jika anda rajin memeriksa tekanan tayar anda.

9. Memandu dengan bijak. Pandulah dengan perlahan – memandu 60 batu sejam dan bukan 70 batu sejam di lebuhraya, anda akan jimat 4 batu bagi setiap gelen. Memecut dan membrek terlalu kuat sebenarnya akan mengurangkan ekonomi bahan api anda, jadi berpada-padalah apabila menekan brek dan pedal minyak.

10. Padamkan lampu apabila anda tidak berada di dalam bilik dan cabutkan palam alat elektrik apabila anda tidak menggunakannya. Satu saat pun cukup untuk menjadi prihatin terhadap alam sekitar.




Mengompos



:: :: :: :: ::



U : Tahun makin bertambah, Bumi makin dimamah usia. Marilah kita sama-sama memasang niat dan iltizam untuk menjadi insan yang lebih bertakwa terhadap Pencipta dan lebih bertanggungjawab terhadap hubungan sesama makhluk yakni alam sekitar. Selamat tahun baru 1431 Hijrah / 2010 Masihi.

11 Disember 2009

Pernahkah seorang raja England menolak penghormatan untuk menaiki takhta?

Pada tarikh ini dalam tahun 1936, Edward VIII, raja Great Britain dan Ireland selama 325 hari, menjadi Raja England pertama yang telah turun takhta secara sukarela. Oleh kerana dilamun cinta dengan Wallis Simpson, seorang janda bangsa Amerika, Edward memilih untuk melepaskan takhta daripada melepaskan wanita yang dianggap sebagai calon yang tidak sesuai menjadi bakal permaisuri England. Adinda baginda, Albert, telah dimahkotai sebagai Raja George VI pada 12 Mei, 1937. Sebulan kemudian, Edward dan Wallis Simpson pun bernikah. Edward memegang gelaran Duke of Windsor dan baginda serta isteri menetap di luar negeri sepanjang hayat mereka. Keluarga diraja England tidak begitu menerima Duchess itu sebagai ahli kerabat mereka, namun pada 1972, Ratu Elizabeth II telah menziarahi pasangan tersebut semasa lawatan rasmi baginda ke Perancis. Apabila Duke itu mangkat beberapa hari kemudian, Duchess telah diberi layanan sepenuh hormat sebagaimana yang dituntut oleh gelaran beliau.

Duke dan Duchess of Windsor

:: :: :: :: ::

U : Buang takhta kerana cinta tidak mengapa, asalkan jangan buang emak, buang saudara dek kerana turutkan kekasih, sudahlah.



 
^

Powered by BloggerOMNI-TERJEMAHAN by UsuárioCompulsivo
original Washed Denim by Darren Delaye
Creative Commons License